KUALA LUMPUR: Kewujudan pelbagai aplikasi media sosial dan kepantasan Internet dengan liputan yang semakin meluas menyebabkan usaha menangani berita palsu semakin mencabar dan berisiko menggugat kedudukan media arus perdana sebagai sumber maklumat sebenar.
Di Malaysia, tahap kebimbangan terhadap penularan berita palsu adalah tinggi berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Global Risk Journalism Hub, sebuah jaringan penyelidikan antarabangsa, iaitu di tempat ketiga di Asia Selatan dengan 77 peratus, di belakang Thailand (82 peratus) dan Filipina (88 peratus).
Kajian bertajuk “Global Risk Journalism Reporting” itu dijalankan di 35 buah negara di Asia Selatan, wilayah Arab, Amerika Latin, Eropah, Afrika, Amerika Utara, Australia dan New Zealand dari 2021 hingga 2022, membabitkan 800 pengamal media termasuk 180 di Malaysia.
Mengulas tentang penemuan itu kepada Bernama, Pengasas Bersama Global Risk Journalism Hub, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata ramai pengamal media yang menyedari akan peningkatan penularan berita palsu dewasa ini, namun mereka melihat masalah tersebut sukar ditangani.
Antara faktor yang digariskan ialah kredibiliti dan tahap kepercayaan rakyat terhadap media arus perdana yang semakin rendah, kata Ketua Penyelidik bagi Asia Selatan itu yang menjalankan kajian di bawah tajuk kecil “How Malaysians Consuming Information and to What Extend Misinformation is Considered Challenging.”
“Sekiranya faktor kredibiliti dan tahap kepercayaan itu tidak berlaku, maka tidak ada ruang untuk sumber alternatif wujud. Lantaran itu, kebanyakan (pengamal media di) negara Asia Selatan termasuk Malaysia dalam kajian tersebut, berharap mereka mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan dan agensinya untuk mencantas berita palsu dengan segera.
“Tanggungjawab ini tidak harus dipikul oleh pihak wartawan sahaja untuk menyalurkan berita sahih,” kata pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Sara berkata berdasarkan kajian itu, 82 peratus responden di Malaysia mengharapkan maklumat yang pantas daripada sumber sahih, menyusuli India yang merekodkan 87 peratus dan Filipina (91 peratus).
Katanya, keperluan terhadap maklumat sahih ini menjadi lebih kritikal apabila berlaku krisis politik, pandemik dan bencana alam.
Menurut pensyarah itu, jika isu kredibiliti media arus perdana tempatan tidak ditangani segera, masyarakat berkemungkinan akan bergantung tinggi pada media alternatif termasuk laporan daripada agensi berita barat.
“Saya melihat penubuhan Majlis Media Malaysia harus disegerakan, dan lebih baik kalau semua media di negara ini (bernaung) di bawahnya dalam bersama-sama menangkis penularan berita palsu secara efektif.
“Selain itu, kewujudan majlis media juga membolehkan kawal selia terhadap organisasi berita dilakukan oleh satu badan sahaja, sekali gus tidak ada lagi pertindihan,” katanya.
Sara juga menekankan kepentingan meningkatkan tahap celik media masyarakat, khususnya tentang platform media sosial.
“Saya turut melihat adanya keperluan menambah baik undang-undang sedia ada yang mengawal media baharu agar sejajar dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh sebuah firma proksi di Amerika Syarikat, Proxyrack, baru-baru ini, Malaysia berkongsi tempat kedua tertinggi bersama-sama Filipina dari segi penggunaan platform media sosial.
Kajian sama juga mendedahkan Malaysia berada di tangga ketiga dari segi negara yang mempunyai keterhubungan paling luas dengan hampir 97 peratus daripada populasinya menggunakan Internet.
Penyebaran berita palsu yang dilakukan melalui pelbagai medium seperti media sosial, platform beli-belah dan perkongsian video dalam talian, umumnya bertujuan meningkatkan trafik Internet bagi meraih pendapatan menerusi pengiklanan selain faktor peribadi seperti menjatuhkan reputasi pihak lain atau perniagaan.
Mengambil kira bahaya berita palsu terhadap ketenteraman awam, peguam Muhamad Akram Abdul Aziz menyarankan kerajaan menimbang untuk memperkenalkan hukuman lebih berat.
Hal ini katanya, disebabkan situasi semasa membayangkan seolah-olah masyarakat kurang cakna serta tidak takut dengan hukuman sedia ada.
“Sebaiknya, hukuman lebih berat wajar dipertimbangkan sebagai peringatan kepada masyarakat di luar sana agar tidak mudah menyebarkan berita palsu.
“Satu daripada prinsip hukuman ialah untuk mencegah. Justeru (pelaksanaan hukuman berat) membolehkan masyarakat melihat sendiri kesan yang bakal diterima jika ditangkap atas kesalahan tersebut,” katanya.
Pada masa ini, laporan dan penyebaran berita palsu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atau Seksyen 233(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merangkumi sebaran berita palsu secara bertulis atau lisan, manakala Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia membabitkan kes sebaran dalam talian.
Mereka yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 233 boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, manakala Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi tempoh 2020 hingga 31 Mei 2022, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 3,285 aduan berita palsu, manakala untuk tahun ini bagi tempoh Januari hingga Februari, sebanyak 143 aduan direkodkan.
Dalam menangani ancaman berita palsu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) mengambil inisiatif mewujudkan portal khas sebagai platform untuk masyarakat menyemak kesahan fakta yang tular di media sosial, dikenali sebagai MyCheck Malaysia (MyCheck).
Portal ini yang beroperasi sejak Mac 2020, berperanan sebagai penyemak fakta yang telus dengan mematuhi piawaian antarabangsa, iaitu International Fact Checking Network (IFCN), serta bebas daripada pengaruh editorial.
Penyemak fakta, MyCheck, Fatin Najmi Mohammad Shah, 32, berkata sejak Ogos 2020, sebanyak 260 laporan semakan fakta telah dilakukan, membabitkan pelbagai isu merangkumi kesihatan, dasar kerajaan, kos sara hidup dan sebarang isu lain yang tular.
“Selain COVID-19, isu terbesar yang kami kendalikan ialah berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15, misalnya tentang tular gangguan bekalan elektrik di pusat kira undi dan penyebaran jadual mengundi bagi mereka yang dijangkiti COVID-19 pada waktu petang.
“Dalam proses menyemak fakta, input yang kami sertakan dalam laporan tidak hanya berdasarkan penafian oleh individu dan organisasi berkaitan, tetapi turut berdasarkan penyiasatan terperinci.
“Untuk proses itu, kami perlu menggunakan ‘tools’ semakan fakta dan mendedahkan kaedah yang dilakukan bagi mengenal pasti berita itu benar atau sebaliknya,” katanya.
Di pihak kerajaan pula, Kementerian Komunikasi dan Digital mengoperasikan laman web ‘sebenarnya.my’ yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi rakyat Malaysia menyemak sebelum mengongsikan berita yang tidak ditentukan kesahihannya.
Portal itu dibangunkan oleh MCMC dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, dan dilancarkan pada Mac 2017.
Melalui saluran rasmi itu, orang ramai boleh menapis maklumat, melapor dan menyemak sesuatu berita yang belum disahkan kebenarannya dengan mudah melalui pautan www.sebenarnya.my.
Berdasarkan maklumat daripada portal rasmi MCMC, hingga 30 Jun 2022, portal sebenarnya.my menerima 300 juta layaran sejak dilancarkan, dan secara purata menerima hingga 4.76 juta “hits” setiap bulan.
Sementara itu, penganalisis politik Dr G Manimaran melihat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan disambut pada 29 Mei ini, sebagai platform terbaik bagi organisasi media membincangkan cabaran besar yang dihadapi mereka dalam mengekang penularan berita palsu, khususnya yang ditulis oleh “wartawan segera” di media sosial.
“Berita adalah produk yang dihasilkan oleh wartawan menggunakan prinsip kewartawanan, dan ini tidak dapat dilakukan oleh sembarangan individu atau pihak. Bagaimanapun situasi hari ini memperlihatkan ramai yang ingin menulis dan menjadi seolah-olah ‘wartawan segera’ dengan menggunakan platform media sosial masing-masing.
“Akan tetapi, apakah yang kita maksudkan sebagai berita? Jadi, HAWANA perlu menekankan kepada masyarakat bahawa berita yang sahih adalah yang dihasilkan oleh wartawan bertauliah yang bertugas di organisasi media berdaftar,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Bahiyah Omar berkata wartawan hari ini memikul tugas lebih berat kerana mereka bukan sahaja melaporkan sesebuah berita tetapi juga perlu membetulkan maklumat palsu yang tersebar.
Bagaimanapun katanya, wartawan media arus perdana telah dilatih untuk mendapatkan berita daripada sumber sahih, melaporkan berita mengikut etika kewartawanan selain mempunyai pelbagai peringkat tapisan sebelum berita itu disebarkan kepada masyarakat.
“Saya rasa sudah tiba masanya subjek literasi media diperkenalkan di sekolah bagi mendidik masyarakat untuk membezakan antara berita palsu dan benar,” katanya.
HAWANA yang dianjurkan buat pertama kali pada 2018 dan dirai pada 29 Mei setiap tahun, akan diadakan di Ipoh, Perak untuk sambutan kali ini dengan tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’.
– BERNAMA