Hujan ‘rahmat’ buat pesawah di Perlis

Estimate Reading Time: < 1 minute

PADANG BESAR, 8 Mac — Hujan yang turun sejak Jumaat, ibarat ‘rahmat’ buat pesawah di Perlis yang diburu kebimbangan setelah sawah mereka hampir kering akibat cuaca panas melanda negeri itu sejak tiga bulan lepas.

Bagi pesawah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), hujan adalah sumber air utama bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman padi yang dijalankan sekali setahun.

Seorang pesawah Senawi Salleh, 68, bersyukur kerana tidak perlu risau untuk memulakan proses menakung air (proses tanaman padi) setelah tiga bulan menunggu kedatangan hujan.

“Apabila hujan turun, saya boleh mulakan proses takung air bagi membolehkan kerja-kerja persawahan dimulakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Senawi berkata oleh kerana kedudukan sawahnya yang agak jauh daripada kawasan MADA, sumber air hujan menjadi keperluan penting agar dia dapat mengerjakan sawah miliknya seluas dua hektar itu.

Salleh Yaakob, 69, pesawah dari Chuping turut gembira dan berharap agar hujan terus turun bagi membolehkan kerja-kerja membajak sawah dilakukan segera.

“Jika hujan terus turun, selepas membajak saya boleh mula proses menabur benih,” katanya yang mengusahakan sawah seluas setengah hektar.

Bernama difahamkan terdapat 11,654 hektar sawah padi di luar kawasan MADA di Perlis dengan sebahagian besarnya mengusahakan sawah sekali setahun dan mengharapkan hujan sebagai sumber air utama.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427