KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama HSBC Bank Malaysia Bhd dan akan memperluaskan operasi perbankan digitalnya serta mengurangkan cawangan seiring dengan perkembangan terbaharu perkhidmatan kewangan dan perbankan.
Menjalankan operasi di Malaysia sejak 1884, transformasi itu membabitkan pelaburan dalam kemampuan digitalnya dengan membuat perubahan kepada teknologi dan cawangan untuk memenuhi harapan pelanggan dan kaedah yang lebih digemari mereka untuk berniaga dengan lebih baik.
“HSBC kini fokus dalam pelaburan untuk mengubah untuk masa depan perbankan melalui pendigitalan dan sebagai sebahagian daripada transformasi ini, sebanyak 13 cawangan bank kami akan ditutup pada 31 Disember 2021.
“Pelanggan dapat terus melakukan urus niaga perbankan mereka melalui cawangan terdekat, mesin juruwang automatik (ATM), perbankan telefon atau platform perbankan digital seperti aplikasi perbankan HSBC Malaysia atau perbankan dalam talian HSBC.
“Kami ingin mengulangi komitmen berterusan terhadap perniagaan HSBC di Malaysia dan mengubah masa depan perbankan,” kata HSBC dalam e-mel kepada Bernama.
Kumpulan HSBC menekankan bahawa cerminan komitmen itu merangkumi pelaburan AS$250 juta HSBC Malaysia di ibu pejabat baharunya di Malaysia, iaitu di hab kewangan TRX.
Kumpulan itu juga melakukan pelaburan sebanyak AS$40 juta dari 2021 hingga 2023 untuk melengkapkan cawangannya dengan keupayaan digital yang dipertingkatkan dan teknologi baharu.
Ia tambahan kepada AS$18 juta yang dilaburkan dari 2018 hingga 2020 untuk membolehkan bank itu mengembangkan format cawangan yang inovatif dan menggunakan cara baharu dalam memberi perkhidmatan pelanggan serta menyokong perjalanan kewangan mereka.
Komitmen itu membabitkan penciptaan lebih daripada 200 peranan baharu untuk menyesuaikan diri dengan landskap perbankan yang terus berkembang dan menempatkan kakitangan HSBC ke dalam peranan baharu ini dengan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan bagi menyesuaikan diri dengan trend perbankan pengguna ketika ini dan pada masa depan, katanya.
“Kami mempunyai sejarah panjang lebih daripada 130 tahun di Malaysia dan merancang untuk terus berkhidmat kepada pelanggan dan membuat pelaburan untuk pekerja, rangkaian dan perniagaan,” katanya.-BERNAMA