KUALA LUMPUR: Kumpulan hak asasi, Human Rights Watch (HRW), mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya dilarikan beberapa lelaki tidak dikenali dari rumah mereka di negara ini pada 4 Julai lalu.
HRW mendakwa, Thuzar Maung dan suaminya, Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka dilarikan dari rumah di Ampang Jaya kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar adalah penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.
“Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka.
“Sebuah kereta memasuki komuniti berpagar mereka jam 4.30 petang 4 Julai lalu dan memberitahu pengawal keselamatan mereka kononnya polis,” katanya.
HRW berkata, dua jam kemudian, Thuzar ketika bercakap telefon dengan kawannya, terdengar Thuzar menjerit kepada suaminya, lelaki tidak dikenali memasuki rumah mereka sebelum panggilan terputus.
“Kemudian, kereta sama dan dua kereta milik keluarga Thuzar dilihat meninggalkan kawasan itu.
“Rakaman CCTV dari pondok keselamatan merakam nombor plat kereta “polis” itu dan mendakwa polis tempatan mengenal pastinya sebagai palsu,” katanya.
Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015 sebelum beliau dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia.
– BH