Hero kura-kura gergasi, Diego, ‘balik kampung’

Estimate Reading Time: < 1 minute

QUITO: Kura-kura gergasi Galapagos yang dinamakan Diego dihantar pulang ke kepulauan asalnya selepas berdekad lamanya diambil untuk program pembiakan.

Menteri Alam Sekitar Ecuador, Paulo Proano, berkata Diego dihantar dari Taman Haiwan Galapagos, di mana ia berperanan menambah spesiesnya yang berada di ambang kepupusan, kembali ke lokasi terpencil di Espanola.

“Kita sedang menutup satu lembaran baru dengan menghantar pulang Diego ke Espanola, yang juga habitat asalnya.

“Sejumlah 25 kura-kura termasuk Diego akan dihantar pulang selepas diambil untuk menyelamatkan spesies itu daripada pupus,” katanya di laman Twitter.

Sebelum dihantar menerusi bot ke Espanola, Diego yang berusia 100 tahun dan kura-kura lain terpaksa melalui tempoh kuarantin untuk mengelakkan mereka terbawa benih tumbuhan yang bukan spesies asal ke pulau itu.

Diego adalah kura-kura seberat 80 kilogram (kg), hampir 90 sentimeter panjang dan ketinggian 1.5 meter jika berdiri dengan mengangkat badannya serta menjulurkan lehernya.

Haiwan itu banyak berbakti kepada program pembiakan di Pulau Santa Cruz dan penjaga taman itu percaya Diego saja bertanggungjawab menjadi induk yang menghasilkan 40 peratus daripada keseluruhan 2,000 spesies haiwan itu.

Sekitar 50 tahun lalu, hanya terdapat dua kura-kura Galapagos jantan dan 12 betina saja yang hidup di Espanola dan jarak kedudukan mereka terlalu jauh, sekali gus menyukarkan pembiakan.

Diego dibeli daripada Zoo San Diego di California, Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai program itu yang bermula pada pertengahan 1960 untuk menyelamatkan spesies kura-kura Galapagos atau ‘Chelonoidis hoodensis’.

Taman Negara percaya, ia diambil dari kepulauan Galapagos pada pertengahan pertama abad ke-20 oleh penjelajah sains.

Pulau Galapagos di Ecuador terletak di Lautan Pasifik dan terkenal pada abad ke-19 selepas pakar teori evolusi, Charles Darwin, mengkaji biodiversiti di situ.

– AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427