‘Hentikan amalan lapuk, beri ganjaran menerusi badan berkanun’ – BERSIH

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menamatkan amalan lapuk membabitkan pembiayaan operasi parti kerajaan dan memberi ganjaran kepada pemimpin melalui jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

BERSIH dalam kenyataannya, menegaskan kerajaan harus membentuk sistem pendanaan awam parti politik yang demokratik, adil dan berakauntabiliti, berdasarkan keperluan parti kerajaan dan pembangkang.

Katanya, disebabkan konflik kepentingan, pelantikan wakil rakyat ke dalam badan berkanun perlu diminimumkan, malah mereka yang dilantik perlu tertakluk kepada pemantauan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen rentas parti bagi memastikan objektif badan itu dipenuhi, seperti menteri dan timbalan menteri yang dipantau Ahli Parlimen lain.

“Ia adalah salah guna perjawatan awam dan amanah, malah hampir kepada rasuah, jika kerajaan hanya melantik mana-mana penggerak parti seperti bekas pembantu kepada pemimpin tertinggi ke dalam badan berkanun, hanya untuk membiayai kerja politik mereka.

“Kami maklum bahawa parti perlu membiayai penggerak parti sepenuh masa, namun gaji mereka perlu dibiayai parti atau entiti yang berkaitan mereka, bukannya dengan wang rakyat.

“Pada masa sama, parti politik sepatutnya layak mendapat subsidi tahunan daripada pembayar cukai, berdasarkan jumlah undi mereka dalam pilihan raya di Persekutuan dan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BERSIH mengulas pelantikan lima pengerusi badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), berkuat kuasa Isnin depan.

Mereka yang dilantik terdiri daripada blekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Mengulas lanjut mengenai lantikan itu, BERSIH berkata, berbeza dengan wakil rakyat yang dilantik ke dalam GLC dan pada masa sama menjadi penggubal undang-undang, lantikan politik dalam badan berkanun dilihat lebih munasabah kerana diyakini selari dengan hala tuju dasar kerajaan, namun perlu mempunyai kelayakan yang bersesuaian dengan badan berkanun berkenaan.

“Kejayaan dan kegagalan badan berkanun adalah tanggungjawab mereka yang dilantik dan kerajaan yang melantik mereka, termasuk jika berlaku sebarang salah guna kuasa atau rasuah.

“Justeru, mereka yang baru dilantik oleh KPKM ke dalam badan berkanun di bawah kementerian perlu melaksanakan tugas mereka kepada rakyat dan bertanggungjawab kepada jawatankuasa pemantau,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427