Hati mesti ‘keras’ kalau mahu jadi artis – Adam Lee

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah lebih sedekad bergelar pelakon, Adam Lee, 30, masih menganggap dirinya kerdil dan tiada apa yang mahu dikongsi kepada junior yang bertatih mencari tapak dalam dunia kreatif.

Bagaimanapun, Adam atau nama penuh, Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee menasihatkan bakat pelapis agar mengikut resam ‘seperti padi, makin tunduk makin berisi’ dalam melakar kerjaya.

“Saya tiada apa yang hendak dipesan kepada pelakon baharu. Cuma, nasihat saya, fikir semula ‘nawaitu’ (niat) masuk industri seni. Pilihlah jalan yang benar, jumpa dengan orang yang betul, iaitu ‘circle’ atau kelompok tertentu.
“Perkara ini sangat penting. Kita jadi seperti padi, tidak kisah kita macam mana pun. Tidak kisah lah baru dapat satu atau dua ‘job’, kita sudah ‘meletup’ dan semua orang suka.

“Kita pastikan tetap jadi seperti padi. Seperkara lagi, usah buat perbandingan dan sentiasa merendah diri. Tidak kisah, jumpa senior atau junior, kita tetap merendah diri,” katanya pada sidang media teater muzikal Sulalat ‘Us Salatin: Sebuah Kemaharajaan Maritim di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara, baru-baru ini.

Adam mengulas isu apa yang didakwa buli membabitkan mangsa iaitu artis baharu dan pelaku yang dikatakan artis senior di lokasi penggambaran seperti yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Adam mengakui pernah dimarahi ketika bekerja di set penggambaran, namun insiden itu dianggap pengajaran.

“Saya tidak mahu cakap, saya artis baharu atau lama. Ketika saya ceburi bidang ini, separuhnya era zaman surat khabar dan separuh lagi, media sosial.

“Pada zaman surat khabar, saya sudah rasa macam-macam seperti kena marah dan sebagainya. Namun, bagi saya perkara itu biasa. Anda masuk ke dunia seni kena ‘keras’ dan saya diajar begitu.

“Pada zaman saya, jurukamera semuanya garang termasuk pelakon senior. Tetapi bagai saya, mereka pergi ke set penggambaran untuk bekerja, bukan belajar. Jadi, sudah tentu mereka hendak kita ‘alert’, ini perkara normal,” katanya.

Adam berkata, sebagai insan yang lebih berpengalaman dalam dunia lakonan, dia cuba menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan masalah. Semuanya dilakukan kerana mahu kekal dalam dunia seni.

“Kalau ada ‘budak baharu’ yang ‘poyo’ terhadap saya, jujurnya, saya tidak boleh buat apa dan jauhkan diri… Itu cara saya. Kalau boleh sekepala, kita sekepala. Kalau tidak boleh, janganlah hendak buat musuh sebab ada banyak perkara lain hendak difikir.

“Saya akui hormati mereka yang bersuara seperti Nabila Huda dan Nadhir Nasar. Malah, saya ada hantar mesej kepada Nadhir. Bagi saya, Nadhir ada pemikiran matang.

“Jadi, fahamlah. Hendak masuk industri seni, relaks dan santai sahaja sebab jauh lagi perjalanan dan ramai lagi orang lain… Pandanglah kiri dan kanan,” katanya.

Baru-baru ini, Nadhir dilapor memberi pandangan terhadap isu buli di lokasi penggambaran di mana antara lain dia meminta individu terbabit, merenung diri sendiri atas apa yang berlaku.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427