Hasrat miliki ATV tidak kesampaian, rugi RM1,588 ditipu penjual tidak wujud

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN, 13 Okt — Hasrat seorang mekanik memiliki kenderaan pelbagai permukaan (ATV) tidak kesampaian apabila diperdayakan oleh penjual yang tidak wujud di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 35 tahun juga mendakwa kerugian RM1,588 yang dikatakan bayaran pendahuluan bagi membeli dua buah ATV berkenaan.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa berminat membeli ATV untuk kegunaan di ladang kelapa sawit keluarganya di Felda Jengka, Maran kira-kira 90 kilometer dari sini, selepas melihat kenderaan tersebut diiklankan di Facebook pada 4 Okt lalu.

“Mangsa mendakwa telah menghantar pesanan WhatsApp ke nombor pada iklan itu sebelum berurusan dengan seorang suspek lelaki yang meminta dia membuat bayaran pendahuluan sebagai tanda serius membeli ATV tersebut.

“Mangsa mendakwa membuat bayaran menerusi mesin deposit tunai (CDM) sebuah bank di Bandar Jengka pada hari yang sama, namun perbuatan suspek yang mendiamkan diri selama lebih seminggu selepas itu menyebabkan dia berasa curiga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa cuba menghubungi suspek semalam, namun mendapati dirinya telah disekat di WhatsApp dan Facebook menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Jerik, Maran.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427