Harga MSM boleh cecah RM5,500 satu tan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: CGS-CIMB mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal kukuh pada RM4,500 hingga RM5,500 satu tan metrik pada Januari 2022 ekoran bekalan terhad minyak boleh makan global dalam tempoh terdekat ini dan kekurangan tenaga kerja perladangan di Malaysia.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran harga pada RM3,600 dan RM3,240 setan metrik masing-masing bagi tahun penuh 2022 dan 2023.

“Kami berpandangan harga MSM kekal tinggi sehingga suku pertama 2022 sebelum menyusut apabila bekalan minyak sawit kembali pulih dan aktiviti penghancuran biji minyak semakin bertambah baik.

“Harga MSM yang kukuh dan jangkaan pekerja asing akan kembali semula memberikan sentimen positif. Namun ia diimbangi oleh kebimbangan akan peningkatan kos baja dan fenomena cuaca La Nina ketika ini,” katanya.

CGS-CIMB berkata, stok minyak sawit dijangka susut sebanyak 4.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan metrik menjelang akhir Januari 2022, dengan pengeluaran dan eksport turun 12.5 peratus dan 20 peratus bulan ke bulan.

Stok minyak sawit Malaysia jatuh 13 peratus bulan ke bulan kepada 1.58 juta tan metrik pada Disember 2021 berikutan pengeluaran rendah dan penggunaan tempatan yang tinggi.

Paras stok berada 10 peratus di bawah unjuran 1.75 juta tan metrik.

Sementara itu, eksport susut 3 peratus bulan ke bulan dan 13 peratus tahun ke tahun kepada 1.42 juta tan metrik pada Disember 2021 berikutan eksport rendah ke China, India dan Pakistan kemungkinan disebabkan catuan permintaan oleh pengguna yang sensitif kepada harga dan kekangan bekalan.

Pada 2021, eksport minyak sawit turun 11 peratus tahun ke tahun kepada 15.5 juta tan metrik.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427