Harga minyak sawit diunjur setinggi RM5,000 satu tan suku pertama

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM) akan berada dalam lingkungan RM4,500 hingga RM5,000 satu tan pada suku pertama 2025.

Dalam satu nota hari ini, Maybank IB menyatakan keyakinannya terhadap harga MSM pada suku pertama 2025, dengan menyebut permintaan yang kukuh didorong oleh perayaan Tahun Baharu Cina pada penghujung Januari 2025 dan permulaan Ramadan pada bulan Mac.

Kedua-dua acara itu dijangka bertepatan dengan kitaran pengeluaran rendah sektor berkenaan untuk suku terbabit.

“Kehadiran potensi La Nina yang sederhana menimbulkan kebimbangan bahawa hujan berlebihan boleh terus mengganggu bekalan,” katanya.

Walaupun begitu, bank pelaburan itu mengekalkan penilaian ‘neutral’ terhadap sektor perladangan, sambil mencadangkan strategi dagangan jangka pendek untuk suku pertama 2025.

Harga spot MSM telah mengalami turun naik yang ketara (pada 2024), dengan harga serendah RM3,629 satu tan pada 3 Januari 2024, dan mencapai paras tertinggi RM5,327 satu tan pada 5 Disember 2024, menandakan julat pergerakan sebanyak RM1,700 satu tan.

“Harga MSM mencatat paras tertinggi baharu dalam dua bulan terakhir 2024 disebabkan oleh kekangan bekalan semasa dan jangkaan pengurangan bekalan lanjut sepanjang tahun pemasaran Oktober 2024 hingga September 2025.

“Ini sebahagiannya didorong oleh semangat terhadap mandat biodiesel B40 Indonesia. Harga juga disokong oleh jangkaan permintaan yang kukuh dalam masa terdekat menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan pada suku pertama 2025,” tambahnya.

Bank itu juga menyatakan bahawa harga MSM pada tahun 2024 adalah tidak stabil, terutamanya disebabkan oleh kejutan bekalan akibat pengeluaran yang tidak dijangka rendah di Indonesia sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Situasi ini disebabkan oleh tekanan biologi pada pokok dan kesan tertunda El Nino sederhana pada tahun 2023, yang telah menjejaskan ladang-ladang di kawasan selatan garisan Khatulistiwa.

-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427