KUALA LUMPUR: Kerajaan dan industri bersetuju mengekalkan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh antara 8 April hingga 7 Mei ini, walaupun berlaku kenaikan harga sawit mentah dunia pada bulan lalu.
Ini bermakna harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen kemasan botol bagi satu kilogram (kg) kekal RM6.90, RM13.30 bagi dua kilogram, tiga kilogram (RM19.60) dan RM30.90 bagi lima kilogram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata langkah itu bagi mengelak rakyat terbeban terutama ketika Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Purata harga minyak sawit mentah pada Mac adalah RM4,139 per tan, berbanding RM3,908 per tan pada Februari. Kenaikan ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak.
“Bagaimanapun, bagi mengelak beban kepada rakyat dan pengguna, kerajaan dan industri bersetuju mengekalkan harga minyak masak sawit tulen ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini. – Berita Harian