PUTRAJAYA: Paras siling harga kit ujian kendiri COVID-19 dalam pasaran dijangka dapat diturunkan mulai November ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ketika ini, pihaknya sedang membuat penilaian di peringkat industri, sebelum menentukan paras siling harga borong dan runcit baharu.
Beliau berkata, KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit ujian itu seperti pasar raya kerana sudah ada premis perniagaan itu bersetuju menjualnya lebih rendah daripada paras ditetapkan.
Katanya, kementerian itu akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian kendiri COVID-19, selain daripada di farmasi dan klinik.
“Dengan mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kepada masyarakat, KPDNHEP menggalakkan agar peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa ditentukan kerajaan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Pada masa ini ada kira-kira 6 juta kit ujian kendiri COVID-19 sudah berada dalam pasaran negara.
Rabu lalu media melaporkan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Dr N Marimuthu, berkata harga runcit maksimum RM19.90 yang ditetapkan kerajaan sebelum ini dilihat masih tinggi dan perlu diturunkan kepada RM9.90.
Alexander berkata, penetapan harga yang dilaksanakan kerajaan pada 5 September lalu turut mengambil kira kos yang terbabit dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian itu.
Menurutnya, kerajaan juga telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan.
Katanya, KPDNHEP akan mengeluarkan satu paras harga yang baharu selepas faktor-faktor di atas diperhalusi dan dimuktamadkan pada November ini.
“Saya berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian ini akan mengambil maklum dan memberikan kerjasama demi kebaikan semua pihak.
“Usaha yang digembleng bersama ini diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik COVID-19 seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik,” katanya.
-BH