KUANTAN: Hampir keseluruhan bandar Maran yang terletak kira-kira 70 kilometer dari sini dinaiki air susulan hujan berterusan sejak malam kelmarin, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Beliau berkata beberapa kawasan di daerah itu turut dilanda banjir iaitu Kampung Sri Jaya, Taman Maran Jaya, Kampung Ulu Luit, Kampung Bak Bak, Taman Maran Damai dan Felda Bukit Tajau.
“Maran adalah antara daerah yang teruk dilanda banjir kali ini sehingga beberapa jalan di bandar berkenaan juga tidak dapat digunakan susulan dinaiki air dan anggota bomba memindahkan mangsa yang terjejas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini semalam.
Bagaimanapun, Wan Mohammad Zaidi berkata tinjauan pihaknya mendapati situasi banjir di daerah itu semakin pulih pada sebelah petang berbanding waktu pagi susulan air mulai surut.
Beliau juga mengingatkan mangsa banjir supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan berbuat demikian oleh anggota keselamatan.
“Terdapat mangsa banjir yang enggan berpindah dan mahu duduk di rumah masing-masing sehingga keadaan pulih, kami harap mereka patuh kepada nasihat dan berpindah demi keselamatan diri,” katanya.
Mengulas mengenai mangsa banjir membabitkan Orang Asli di kawasan pedalaman, Wan Mohammad Zaidi berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli bagi mendapatkan maklumat dan situasi terkini komuniti itu.
“Kita juga akan sentiasa membuat tinjauan dari semasa ke semasa dan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan esok, kami akan meminta bantuan Bahagian Udara JBPM untuk membuat tinjauan menggunakan helikopter,” katanya.
Beliau juga berkata lebih 900 anggota bomba akan terbabit dalam operasi sepanjang musim banjir ini dengan 89 kenderaan digerakkan. – BERNAMA