GAZA/RAMALLAH: Kumpulan Hamas menyeru rakyat Palestin supaya terus bangkit hari ini untuk memprotes serangan Israel ke atas Gaza, sekali gus menggesa mereka mara ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan berjuang menentang tentera rejim Zionis di Tebing Barat yang diduduki.
Rejim Zionis membedil Gaza bertalu-talu dengan serangan udara serta tembakan artileri susulan Hamas bertindak balas melancarkan serangan mengejut pada Sabtu minggu lalu yang meragut sekurang-kurang 1,300 nyawa pihak Israel, manakala lebih 1,500 rakyat Palestin pula terkorban, setakat ini.
Keganasan di Gaza turut menyemarakkan semula ketegangan di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat di mana tentera Israel membunuh sekurang-kurang 34 rakyat Palestin dalam pertempuran sejak Sabtu minggu lalu, menurut pegawai Palestin.
Dalam satu kenyataan menyeru ‘mobilisasi awam’, Hamas menggesa rakyat Palestin untuk mengadakan bantahan di pekarangan Masjid Al-Aqsa dan bertahan di situ sepanjang hari ini dengan umat Islam turut menunaikan solat Jumaat.
Kawasan Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci selepas Makkah dan Madinah bagi umat Islam, namun orang Yahudi memanggilnya Temple Mount yang dianggap sebagai lokasi paling suci kepada penganut mereka. Pertempuran di pekarangan itu mencetuskan perang Israel-Gaza selama 11 hari pada Mei 2021.
Seterusnya, Hamas juga meminta rakyat Palestin di Tebing Barat untuk ‘berdemonstrasi, bergerak dan bertempur’ dengan tentera rejim Zionis serta pendatang Israel.
Tentera Israel yang turut berdepan tentangan pejuang di sempadan utara di Syria dan Lubnan, tidak memberikan komen berkaitan, setakat ini.
– REUTERS
-BeritaHarian