Hamas lancar serang balas serangan darat rejim Zionis

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Pejuang Hamas melancarkan peluru berpandu anti kereta kebal serta tembakan mesingan dalam serangan balas ke atas tentera Israel di utara dan selatan Gaza hari ini sewaktu kenderaan perang itu menyerang bandar utama yang menggusarkan nasib orang awam Palestin.

Tentera Israel ketika ini sedang memperluaskan operasi darat di Gaza dengan alasan mahu menghukum Hamas.

Saksi berkata, rejim Zionis menyasarkan jalan utama utara-selatan Gaza sejak semalam dan menyerang Bandar Gaza dari dua arah.

Israel juga mendakwa, tenteranya berjaya membebaskan seorang askar daripada tahanan Hamas, seorang daripada 239 tebusan yang dikatakan Israel ditangkap pada 7 Oktober lalu.

Briged al-Qassam, sayap bersenjata pergerakan Hamas yang memerintah Gaza, berkata pejuangnya bertempur awal hari ini apabila tentera Zionis menyerbu paksi selatan Gaza, dengan menggunakan mesingan malah menyasarkan empat kenderaan menggunakan peluru berpandu al-Yassin 105 atau peluru berpandu anti kereta kebal keluaran tempatan.

Kata al-Qassam lagi, pejuang mereka turut menyasarkan dua kereta kebal dan jentolak Israel di barat laut Gaza dengan peluru berpandu.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan pertempuran itu dan tiada maklum balas daripada tentera Israel.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza memaklumkan 8,306 orang, termasuk 3,457 kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara dan darat Israel.

Pakar ketenteraan berkata, tentera Israel bergerak perlahan dalam serangan darat mereka di Gaza untuk memberi peluang terhadap kemungkinan Hamas akan berunding mengenai pembebasan tebusan.

Tentera Israel berkata, mereka juga sudah menyerang lebih 600 sasaran pejuang Hamas sejak beberapa hari lalu di Gaza, yang kronik akibat pemutusan bekalan keperluan penting.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih sejuta daripada kira-kira 2.3 juta penduduk awam Gaza sudah kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman Israel.

Katanya, trak bantuan kemanusiaan juga sudah sampai ke wilayah yang dikepung itu dengan arahan awam dilanggar apabila orang ramai menyerbu gudang PBB untuk mendapatkan makanan.

Situasi itu menyebabkan empat pusat pengedaran bantuan PBB dan kemudahan penyimpanan tidak dapat digunakan, seperti yang disahkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) semelam.

“Ia adalah bencana di dalam bencana. Keperluan kesihatan semakin meningkat dan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan itu semakin berkurangan,” kata ketua kecemasan serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Rick Brennan, yang turut mengulangi gesaan antarabangsa bagi gencatan senjata untuk membolehkan operasi kemanusiaan yang lebih besar.

Trak bantuan sudah bergerak ke Gaza dari Mesir sejak seminggu lalu melalui Rafah.

Ia menjadi titik utama penyampaian bantuan sejak Israel mengenakan ‘pengepungan menyeluruh’ ke atas Gaza selepas serangan 7 Oktober lalu.

– REUTERS

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427