Guna helah bantu rakan habis minyak di LPT2 untuk rentas negeri edar dadah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEMAMAN: Lelaki disyaki pengedar dadah dari Pahang menggunakan alasan mahu menolong rakannya yang kehabisan minyak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi merentas masuk ke negeri ini bersama 400 gram serbuk putih dipercayai syabu dan 140 pil kuda.

Bagaimanapun, taktik lelaki berusia 29 tahun dari Taman Tas, Kuantan itu membawa padah apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing di sini kira-kira pukul 4.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kesemua dadah berkenaan dijumpai dalam beg sandang hasil pemeriksaan yang dilakukan.

“Ketika ditahan dia bukan sahaja gagal mempamerkan surat merentas negeri, tetapi dilihat dalam keadaan mencurigakan apabila disoal siasat.

“Malah, tiada sebarang bukti dia mahu membantu rakannya kerana tiada botol minyak ditemukan dalam kenderaan Perodua Viva dipandu,” katanya dalam sidang akhbar semalam..

Hanyan berkata, pemeriksaan turut menemukan mesin penimbang dan seikat wang tunai berjumlah RM10,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM20,000.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan baru enam bulan bebas daripada hukuman buang daerah.

“Kita akan meneruskan siasatan dari mana lelaki itu mendapatkan bekalan dan kita percaya tangkapan ini menghentikan bekalan untuk daerah Kemaman,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.-UTUSAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427