Guan Eng paranoid kami berkuasa, kata pemimpin PAS

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan berkata, hanya individu dalam ketakutan dan paranoid akan membuat kenyataan Malaysia bakal memasuki zaman gelap jika Pakatan Nasional menjadi kenyataan dan “kerajaan didominasi orang Islam”.

Beliau turut menolak PAS terbabit dalam Pakatan Nasional seperti didakwa dalam khabar angin tersebar baru-baru ini.

“Saya tak faham kerana sejak dari awal lagi, sama ada PAS atau Umno, kita selalu sebut kita memahami dan mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan agama dalam negara kita.

“Semuanya ada peranan dan hak masing-masing dan tidak timbul pemerintahan satu pihak,” katanya pada sidang media di Terengganu hari ini.

Isnin lalu, Lim dilaporkan berkata, kerajaan yang dikuasai orang Melayu “akan membawa zaman gelap kepada Malaysia seperti di Kelantan” di mana pemimpinnya memandang rendah teknologi moden kecuali “kereta mewah Mercedes Benz”.

Katanya, Pakatan Nasional ialah ancaman jelas dan nyata terhadap cara hidup Malaysia susulan pengumuman pemimpin PAS tidak mahu menteri Kabinet bukan Islam, khasnya jawatan penting seperti menteri kewangan, walaupun tidak wujud halangan sedemikian dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu berkata, cadangan PAS membawa usul undi percaya di Dewan Rakyat pada bulan depan bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bukan perkara pelik.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi keyakinan kepada Mahathir untuk terus mentadbir negara.

“Sekarang ini kita banyak dengar ada pihak nak cerita jadi perdana menteri sehingga timbul perdana menteri (PM) tepi dan sebagainya.

“Jadi, pada saya ini adalah untuk perdana menteri masa ini jalankan tugas tanpa sebarang gangguan dan kita di peringkat negeri dan parti sokong Mahathir sebagai perdana menteri kita.” -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427