PARA wartawan memainkan peranan penting dalam membantu kami memahami peristiwa penting semasa ia berlaku. Mereka membantu kami menyaring sejumlah besar maklumat dan menjelaskan bagaimana ia memberi kesan kepada komuniti setempat. Berita tempatan adalah pengetahuan tempatan. Ia adalah pemahaman bersama dan catatan isu-isu nasional, dan ia adalah penting kepada orang ramai dan komuniti mereka.
Hari ini, kami melancarkan Google News dalam Bahasa Melayu untuk membawa lebih banyak berita tempatan kepada pembaca.
Perluasan ini mengesahkan komitmen Google untuk menjadikan maklumat mudah diakses oleh orang ramai di seluruh dunia dalam bahasa yang mereka sukai.
Melalui laman web khusus dan aplikasi yang tersedia di Android dan iOS, Google News terus membantu pembaca mencari berita dari sumber yang berwibawa, dari laman web berita terbesar dunia sehingga ke penerbitan kecil, tempatan dan khusus.
Dengan mengenal pasti dan menyusun cerita daripada pelbagai sumber berita – suatu langkah utama dalam memerangi berita palsu – kami membantu para pembaca mendapatkan gambaran yang lebih besar tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka dengan lebih mudah.
Ini termasuk mencari lebih banyak cerita tempatan dari komuniti mereka, memahami topik berita yang melanda negara dan global pada hari tersebut.
Memudahkan para pembaca untuk mencari berita yang mereka inginkan bukan sahaja memberi manfaat kepada pembaca, ia juga membantu pihak penerbitan.
Google News membawa pembaca ke laman web penerbit apabila mereka klik pada pautan – membantu mendorong trafik ke kandungan mereka, di mana mereka boleh memaparkan iklan dan menggalakkan pembaca untuk melanggan.
Pada tahun 2022, Google menghantar lebih daripada 66 juta lawatan ke laman web penerbit Malaysia setiap bulan – tanpa sebarang caj.
Selain daripada pengumuman ini, kami akan terus melabur dalam produk, program dan pembiayaan melalui Google News Initiative (GNI) untuk menyokong kewartawanan berkualiti dan membantu pihak penerbit dan para wartawan Malaysia berkembang maju dalam talian.
Kami berbangga kerana GNI akan terus menyokong kerja-kerja penting seperti kisah ini tentang para wartawan dari pasukan BERNAMA yang menyoroti salah satu masalah terbesar kanak-kanak di Malaysia selepas menghadiri latihan kewartawanan data oleh Google News Initiative.
Kami berharap ketersediaan Google News dalam Bahasa Melayu membantu lebih ramai orang mencari berita yang mereka inginkan, daripada penerbit berwibawa yang pelbagai dan dari semua saiz, di Malaysia dan di luar negara, dan memberikan lebih banyak sokongan kepada para wartawan dan penerbit yang bekerja keras untuk menyampaikan berita.
-BeritaHarian
Penulis adalah Pengarah, Perkongsian Berita, Google Asia Pasifik