GISBH: JAIS buka 141 kertas siasatan, serah pendakwaan kepada pendakwa raya syarie

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan membuka 141 kertas siasatan berkait kes GISB Holdings (GISBH) di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata ketika ini JAIS dalam proses perbincangan dengan pihak pendakwa raya untuk melengkapkan kertas siasatan terbabit.

Beliau berkata, rata-rata kes didakwa di bawah Seksyen 12(c ) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor berhubung tindakan GISBH melanggar fatwa yang sedang dikuatkuasakan.
“Sekarang JAIS dalam proses (memenuhi) beberapa kehendak pihak pendakwaan yang sedang disempurnakan dalam tempoh seminggu ini.

“Insya-Allah, kalau ada kes kita akan dakwa secepat mungkin, kalau tiada (kes) itu bergantung kepada kuasa pihak pendakwa raya (syarie),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan PSRA, SMA, SMATQ, SMATQKBT, SMATD dan SKM di Masjid Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, untuk pendakwaan kes lain selain Seksyen 12(c ) itu ia bergantung kepada ketentuan di pihak pendakwa raya.

“Mungkin akan dipertimbangkan pihak pendakwaan syarie adalah membabitkan cubaan menghidupkan ajaran sesat, juga dibawa enakmen sama,” katanya.

Mengulas kaedah pemulihan digunakan terhadap GISBH, beliau berkata ia bukan sahaja membabitkan proses pemulihan akidah tetapi juga bagaimana mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat sepenuhnya dan bukan dalam kumpulan mereka sahaja.

“Titah Sultan Selangor jelas supaya mengintegrasikan mereka kepada mainstream dan bukan hanya semasa-mata proses menyempurnakan atau mengembalikan fahaman mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mengesahkan JAIS sedia maklum mengenai kegiatan ‘swinger’ atau seks bertukar-tukar pasangan sejak 1980-an yang mana sentiasa dalam pemantauan dan pencegahan pihaknya.

“Cuma sekarang kita agak terkejut mereka menggunakan media sosial dan JAIS ada senarai media sosial yang mereka guna.

“Tetapi dengan undang-undang kita ada, apa fakta yang kita dapat (akan diteliti).. itulah menentukan apakah tindakan yang akan diambil.

“Tetapi usaha-usaha pencegahan dan sebagainya akan dilakukan termasuk keluarkan khutbah berkenaan supaya orang sedar perbuatan itu tidak boleh diterima, bukan sekadar agama tetapi kemanusiaan pun tidak boleh terima,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427