Gerak gempur kerja KBE jadi kekuatan Khai

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Penyanyi Khai Bahar mengakui sokongan kelab peminat, Khai Bahar Empire (KBE) antara kelebihannya dalam menguasai apa sahaja acara anugerah termasuklah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.

Khai berkata, KBE sangat bersungguh-sungguh memberikan sokongan dalam pada juga pertandingan atau program yang disertai.

Katanya, melihat sokongan tidak putus dari KBE memberikannya semangat untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik.

“Kalau nak bercakap soal KBE, mereka sentiasa berikan usaha sehabis baik. Kalau undian, mereka akan ‘pulun’.

“Apa yang dimahukan, mereka akan usaha. Bukan saya paksa, tapi mereka sendiri pun buat. Kadang-kadang segan juga nak minta mereka undi.

“Walaupun saya kurang buat hantaran minta undi, tapi KBE tetap undi. Untuk minta berterusan undi, macam ada rasa segan sebab mereka sudah banyak beri sokongan kepada saya.

“Saya takut membebankan mereka, tapi saya lihat mereka tak rasa begitu. Itu yang buatkan saya bersemangat.

“Menerusi ABPBH, ada sesuatu aktiviti yang peminat boleh buat untuk artis kesayangan,” katanya kepada BH Online.

Menerusi ABPBH 36, Khai pencalonan kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Adira dan Nabila Razali.

Dalam pada itu, Khai turut menzahirkan rasa syukur apabila sangat disayangi peminat. Cukuplah disayangi, dirinya tak meletakkan kemenangan sebagai perkara utama.

Katanya, sokongan peminat sudah membuatkannya beroleh kemenangan besar.

“Saya bersyukur disayangi KBE dan semua penyokong lain. Menang atau kalah, saya serahkan pada ketentuan Allah serta usaha penyokong yang saya sangat sayangi.

“Saya selalu menjadi diri sendiri dan bersyukur kerana walau apa sahaja situasi dilalui, KBE tetap faham dan sentiasa ada bersama menyokong saya. Mereka terima saya seadanya.

“Merekalah menjadi tulang belakang saya selain keluarga,” katanya.

Khai berkata, setiap artis bertanding pasti memiliki impian menang.

“Jadi, KBE dan penyokong lain cuba memainkan peranan sebaik mungkin dan selebihnya, kami serahkan pada rezeki. Ini seperti rumah sukan di zaman sekolah bertanding dengan cara sihat,” katanya.

Sementara itu, Penyelia KBE, Ismail Ibrahim berkata, KBE bersungguh-sungguh memberi sokongan setiap kali Khai terbabit dengan pencalonan dalam mana-mana anugerah.

Katanya, mereka sudah membuat persediaan dan perancangan tersendiri untuk ABPBH 36.

“Seperti biasa, kami akan sertai siri jelajah ABPBH 36 yang dihadiri Khai. Peminat dari setiap negeri akan turun beri sokongan kepada Khai dan ABPBH.

“Selain itu, kami juga undi berhabis-habisan bagi memastikan undian diterima Khai lebih banyak. Matlamat kami nak memastikan artis yang disokong, menang.

“Semoga Khai dapat mengembangkan karier dan bakat nyanyiannya dengan kemenangan, insya-Allah,” katanya.

Ismail berkata, KBE tidak menafikan menyimpan harapan besar untuk melihat Khai menang, namun mereka terima dengan hati terbuka jika tewas.

“Kalau tiada rezeki, kami terima seadanya dan tetap sokong Khai. Apapun usaha doa dan tawakal itu sangat penting. Setiap apa yang kami nak capai perlu ada usaha dan ini juga sokongan ramai pihak.

“Terima kasih kepada ABPBH kerana mempercayai bakat Khai, setiap tahun. Tak lupa juga terima kasih kepada semua ahli KBE sama ada dalam Malaysia mahupun luar negara yang berhempas pulas mengundi Khai,” katanya.

Pada ABPBH 35, Khai memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular termasuk pada tiga edisi berturut-turut sebelum itu, iaitu ABPBH 30, ABPBH 31 dan ABPBH 32.

Khai juga pernah meraih kemenangan dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Siti Nordiana menerusi lagu Satukan Rasa pada ABPBH 33, sebelum mengulangi kejayaan bersama Aina pada ABPBH 34 menerusi lagu Nafas Cinta.

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427