Gadis 17 tahun pilihan Search ganti Yazit

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kelibat gadis remaja mengiringi persembahan kumpulan Search sebagai pemain dram pada Konsert Nusafest 2023 yang berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Sabtu lalu mencuri perhatian penonton yang hadir menyaksikan acara festival muzik itu.

Di sebalik keghairahan penonton melihat vokalis Search, Datuk Amy beraksi dengan diiringi ‘gorengan’ gitar daripada Hillary Ang, Man Kidal dan pemain bass, Nasir Daud, ramai juga yang tertanya-tanya siapakah gerangan gadis berambut kerinting yang rancak mengetuk dram hingga mendapat pujian ramai.

Enggan membiarkan persoalan terus bermain dalam fikiran, Amy selepas menyampaikan dua lagu memperkenalkan gadis comel bernama Naimi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.

“Namanya Naimi dan sangat berbakat bermain dram.

“Pagi, Naimi ke sekolah, manakala sebelah petang akan berlatih bersama kami di studio. Itulah rutinnya hingga hari ini,” kongsi Amy atas pentas sambil disambut dengan sorakan penonton yang mengagumi bakat dimiliki gadis itu.

Berkongsi lanjut mengenai pemilik nama lengkap, Naimi Daimi itu, Nasir berkata, gadis berusia 17 tahun itu bakal diserap sebagai pemain dram kekal Search.

“Naimi adalah pemain dram muda yang sangat berbakat pernah ditemui di Malaysia.

“Dia akan mengisi posisi posisi pemain dram berstatus tetap pilihan Search, walaupun kami mempunyai seorang lagi, Arthur,” kata Nasir kepada HIP.

Menyedari status Naimi yang masih bergelar pelajar, Nasir berkata, Search enggan memberi sebarang tekanan kepada gadis itu. Sebaliknya, mereka akan menunggu sehingga Naimi tamat belajar.

“Search menghormati status Naimi yang bakal berdepan peperiksaan besar, tahun ini. Oleh itu, kami tidak mahu Naimi rasa tertekan dengan jadual Search.

“Kami memberi masa kepada Naimi untuk menghabiskan pelajarannya sebelum diserap sebagai pemain dram kekal Search.

“Namun, Naimi akan bersama kami di setiap persembahan untuk menggali pengalaman,” jelas Nasir.

Menerusi persembahan berdurasi hampir sejam, Amy yang tampil mengenakan pakaian serba hitam memukau penonton dengan rangkaian lagu popularnya seperti Qabil dan Habil, Gothik Malam Edan, Isi Atau Kulit, Cakap Memang Murah, Paranoid dan Pelesit Kota serta medley rock balada, Isabella dan Rozanna sebelum menutup persembahan dengan lagu Pawana.

Sementara itu, meletakkan dua gergasi rock, iaitu Search dan Wings sebagai persembahan penutup malam pertama konsert yang dibawakan khas oleh Shiraz Projects itu adalah satu keputusan tepat apabila ia berjaya menghiburkan 5,000 penonton yang hadir.

Selepas dihiburkan dengan pelbagai band undangan yang menyajikan genre muzik bervariasi pada sebelah siang, kemuncak konsert pastinya tertumpu kepada dua kumpulan rock ikonik gergasi itu.

Selain aksi Search yang tampil diiringi pemain dram remaja yang menjadi tarikan utama, persembahan Wings juga tidak kurang hebat meskipun berdepan cabaran kerana terpaksa beraksi sehari selepas isteri Eddie yang juga pemain dram meninggal dunia.

Pujian sewajarnya diberikan kepada Wings kerana mereka tetap profesional dan sanggup ketepikan emosi diri demi kepuasan penonton.

Meskipun vokalisnya, Datuk Awie menyatakan yang persembahan mereka tidak mencapai piawaian kerana energi merudum sebanyak 50 peratus disebabkan masih bersedih, namun apa yang dipersembahkan berbeza dengan apa yang dikatakannya.

Tenaga disalurkan kumpulan yang mula dikenali menerusi lagu Intan Ku Kesepian itu kekal mantap. Nyanyian dan muzik dialunkan berjaya membuatkan penonton terpaku meskipun jam sudah melepasi angka 12 malam.

Antara lagu didendangkan Wings termasuklah Romania, Opera Hidup, Jumpa Hilang, Bujang Senang, Harapan, Dalam Kehadiran Sofea, Lipas Kudung, Jerangkung Dalam Almari, Peronda Jaket Biru sebelum menutup tirai persembahan dengan lagu Sejati.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427