FMM bantah cadangan syarat baru pengambilan pekerja asing

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) membantah syarat baru pengambilan pekerja asing yang dicadangkan Putrajaya, di mana syarikat besar perlu membayar kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot imigresen.

Presidennya, Soh Thian Lai berkata, ia sangat membebankan majikan ketika industri itu masih dalam proses pemulihan dan sektor itu tidak sepatutnya menggalas tanggungjawab membiayai kos penghantaran pulang PATI.

Beliau berkata, majikan sudah mengeluarkan RM250 hingga RM1,500 untuk jaminan bank bagi setiap pekerja asing, yang bertujuan menampung kos penghantaran pulang, sekiranya pekerja itu melarikan diri.

“Mengenakan syarat baru kepada majikan dalam keadaan perniagaan mencabar ini sangat merosakkan industri yang sudah berdepan banyak cabaran kos lain dan masalah buruh dalam proses pemulihan perniagaan mereka.

“FMM menggesa kerajaan mengkaji syarat baru ini dan berinteraksi dengan pemegang taruh relevan untuk mencari penyelesaian lebih baik bagi menangani kekurangan buruh yang dihadapi beberapa industri,” katanya dalam kenyataan.

Soh berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga memerlukan pengambilan pekerja asing dan kekurangan buruh semasa dalam industri tidak terhad kepada perusahaan besar.

Katanya, pengambilan pekerja asing kini memerlukan kos lebih tinggi kerana syarat baru ditetapkan berikutan pandemik, seperti pemeriksaan perubatan dan saringan Covid-19 yang semuanya perlu ditanggung majikan.

“Secara keseluruhan, kos membawa masuk pekerja asing baru boleh melebihi RM11,000 untuk setiap pekerja. Oleh itu, melaksanakan syarat baru ini akan menjadikan syarikat tidak dapat menanggung kos keseluruhan.”

Beliau menyokong keputusan Putrajaya mengawal selia PATI yang sudah berada di Malaysia, tetapi kerajaan perlu memastikan program itu dikendalikan dengan baik.

Katanya, pekerja boleh melarikan diri daripada majikan selepas mendapat dokumen sah, manakala sistem pengesanan pekerja asing pula lemah.

Soh meminta kerajaan membenarkan majikan menyaring pekerja sebelum memilih untuk mengambil mereka dan tidak mengenakan kos tambahan untuk proses mendokumenkan pekerja asing, kecuali untuk permit kerja, pasport dan visa mereka.

“Dalam hal ini, sekalipun pekerja tersebut melarikan diri selepas mendapat dokumen sah, impak kos terhadap majikan adalah minimum. Pekerja seperti itu kemudiannya perlu disenaraihitamkan dan dihantar pulang dengan bantuan kedutaan masing-masing.” -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427