Fleksibiliti dalam bidang gig dorong pertumbuhan ekonomi negara

Estimate Reading Time: 4 minutes

KUALA LUMPUR: Ekonomi gig berkembang pesat dan memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara selain memperbaharu landskap tenaga kerja yang berbeza daripada norma tradisi pekerjaan sedia ada.

Pekerjaan gig telah lama menjadi sebahagian daripada tenaga kerja, merangkumi peranan seperti kontraktor bebas, artis dan penulis bebas.

Seiring dengan perkembangan era digital, pelbagai bentuk pekerjaan baharu telah muncul dalam ekonomi gig terutama selepas kemunculan platform digital, yang telah mengubah cara pekerjaan dilaksanakan seterusnya mengubah dinamik tenaga kerja.

Secara global, Bank Dunia menganggarkan pekerjaan gig dalam talian merangkumi sehingga 12 peratus tenaga kerja global pada 2023 manakala di ASEAN, lonjakan ekonomi gig dan struktur kerja yang baru muncul didorong oleh “ekonomi internet” yang berkembang pesat, merujuk kepada semua transaksi yang dijalankan secara dalam talian.

Perkembangan itu menunjukkan bahawa dari semasa ke semasa, impak ekonomi gig terus meningkat dan akan memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi global.

Perkembangan Ekonomi Gig di Malaysia

Ekonomi gig di Malaysia mengalami perkembangan dan kepelbagaian yang pesat merangkumi pelbagai industri dan sektor selain daripada e-hailing dan p-hailing seperti penjagaan kesihatan, automotif, perkhidmatan domestik serta perkhidmatan kreatif dan profesional.

Sehingga tahun lepas, terdapat lebih 140 platform ekonomi gig yang disahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) (sebelum kementerian itu dipisahkan) sejak 2014.

Antara beberapa penyedia utama peluang pekerjaan gig di Malaysia berasaskan lokasi ialah Grab, Foodpanda, GoGet dan ShopeeFood manakala yang bukan berasaskan lokasi pula ialah Freelancer.com, Upwork dan Fiverr.

Menurut MDEC, dianggarkan sebanyak 1.12 juta individu menyertai pekerjaan gig untuk menjana pendapatan sama ada secara sampingan atau sumber tetap pada 2022.

Satu kertas putih bertajuk ‘What Gig Workers Really Want’ telah dilakukan oleh Ipsos dan MyDigital Corp, agensi di bawah Kementerian Digital yang disiarkan di laman sesawang kementerian itu pada Mei 2024.

Dua entiti itu membuat tinjauan terhadap 1,500 pekerja gig di Malaysia untuk lebih mengetahui latar belakang mereka serta memahami dengan lebih mendalam mengenai pilihan kerjaya tersebut.

Di Malaysia, populariti menjadikan pekerjaan gig lebih berfungsi sebagai sumber pendapatan sampingan berbanding pendapatan utama apabila tinjauan mendapati 70 peratus responden melakukan pekerjaan gig secara sambilan, manakala 30 peratus melakukannya secara sepenuh masa.

Tinjauan itu menunjukkan walaupun menawarkan beberapa kelebihan namun, pekerjaan gig tidak menyediakan tahap keselamatan kewangan yang diperlukan untuk menggantikan pekerjaan sepenuh masa tradisional bagi kebanyakan masyarakat pada masa kini.

Latar Belakang Pekerja Gig

Pekerja gig merangkumi pelbagai peringkat umur, dengan pekerja gig terbesar berumur antara 25 hingga 34 tahun iaitu sebanyak 39 peratus, selain individu yang mempunyai lebih banyak pengalaman kerja iaitu lingkungan umur 35 hingga 44 tahun sebanyak 28 peratus.

Walaupun jenis pekerjaan gig di Malaysia agak bersifat neutral dari segi jantina, tinjauan menerusi kertas putih itu menunjukkan pekerja gig berasaskan platform lokasi didominasi lelaki manakala wanita lebih ramai berada dalam kategori bukan berasaskan lokasi sebanyak 53 peratus.

Sementara itu, pekerja gig lebih cenderung mempunyai kelayakan pendidikan tinggi dengan 65 peratus responden mempunyai sekurang-kurangnya diploma atau lebih tinggi.

Kecenderungan itu lebih ketara dalam kalangan pekerja gig bukan berasaskan lokasi, dengan 83 peratus mempunyai kelayakan sedemikian berbanding 59 peratus dalam kalangan pekerja gig berasaskan platform lokasi.

Perbezaan itu mencerminkan realiti bahawa pekerjaan gig yang memerlukan pengetahuan lebih banyak wujud dalam bidang pekerjaan gig bukan berasaskan lokasi.

Sementara itu, pekerja gig berasaskan lokasi seperti penghantaran e-hailing dan perkhidmatan rumah cenderung mempunyai tahap pendidikan yang lebih rendah (41 peratus) berbanding pekerja gig bukan berasaskan lokasi (17 peratus) seperti penulis, penterjemah, dan pengaturcara.

Hal ini menjadikan mereka yang tidak mempunyai kelayakan tinggi lebih mudah untuk mencari rezeki.

Faktor Utama Memilih Pekerjaan Gig

Fleksibiliti, pendapatan tambahan serta kebolehcapaian adalah antara faktor utama yang mendorong pekerja memilih pekerjaan gig.

Autonomi ini membolehkan pekerja gig mengimbangi komitmen profesional mereka dengan tanggungjawab peribadi, yang lebih memberikan kebebasan yang tidak terdapat dalam pekerjaan tradisional.

Laporan itu menyatakan 60 peratus responden menunjukkan fleksibiliti masa sebagai faktor utama mereka memilih pekerjaan gig, manakala 41 peratus juga menunjukkan fleksibiliti dari segi lokasi kerja sebagai antara alasan utama mereka.

Selain itu, 70 peratus responden menggunakan peluang itu untuk menambah pendapatan utama selain menangani kekurangan kewangan yang dihadapi.

Bagi kebolehcapaian pula, lebih mudah untuk sesiapa sahaja memulakan kerja dan memperoleh pendapatan dengan cepat, terutama mereka yang mungkin menghadapi halangan untuk mendapat tempat dalam pekerjaan tradisional.

Tinjauan itu turut mendedahkan beberapa pekerja gig sepenuh masa (31 peratus) memilih untuk bekerja dalam ekonomi gig kerana tidak dapat mencari pekerjaan yang sesuai.

Pekerjaan Gig Perkukuh Kedudukan Kewangan

Berdasarkan kertas putih, pekerjaan gig telah membantu pekerja mencapai beberapa matlamat kewangan.

Bagi pekerja sambilan, yang merangkumi 70 peratus daripada responden yang diprofilkan, pekerjaan gig menyumbang secara purata 37 peratus kepada jumlah pendapatan mereka.

Peningkatan pendapatan yang ketara itu berupaya meningkatkan kualiti hidup dan perancangan kewangan mereka, seperti melunaskan pinjaman, mampu membuat pembelian besar serta mempunyai simpanan tambahan.

Ini menunjukkan betapa pentingnya ekonomi gig dalam membantu ramai rakyat Malaysia menambah pendapatan, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia.

Memandangkan lebih ramai individu berupaya menjana pendapatan, ini turut meningkatkan kuasa beli dan perbelanjaan domestik, yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Cabaran dan Masa Depan Ekonomi Gig di Malaysia

Walaupun menawarkan banyak faedah, ekonomi gig juga membawa cabaran seperti kekurangan perlindungan sosial dan perancangan persaraan.

Kerajaan memainkan peranan penting dalam menyediakan rangka polisi dan sokongan sosial yang sesuai bagi memastikan pekerja gig mendapat perlindungan yang mencukupi.

Antaranya mempertimbangkan untuk merangka garis panduan keselamatan dan kesejahteraan secara menyeluruh, yang boleh merangkumi aspek seperti keperluan peralatan keselamatan, keperluan kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), program i-Saraan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan koloborasi KWSP bersama beberapa platform gig seperti Grab dan GoGet untuk memudahkan akses pekerja kepada skim perlindungan sosial.

Secara keseluruhan, ekonomi gig memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan menawarkan fleksibiliti kepada tenaga kerja.

Berasaskan polisi yang betul, yang tidak mengambil alih sifat fleksibel and akses mudah pekerjaan gig, dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan, ekonomi gig mempunyai potensi untuk menjadi pemacu utama dalam pembangunan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.
-Bernama
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427