‘Fleet card’ SKDS ada had pengisian, jumlah belum ditetapkan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kerajaan mengesahkan terdapat had atau kuota dalam pengisian diesel membabitkan penggunaan ‘fleet card’ untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata had yang ditetapkan adalah berdasarkan kapasiti liter dan bukannya jumlah.

“Terdapat had (pengisian) dari segi liter dan bukannya jumlah, tetapi saya fikir kita perlu tunggu pengumuman daripada Menteri Kewangan II.

“(Ketika ini) kita masih belum menetapkan berapa hadnya (pengisian),” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Dasar Percukaian Malaysia keempat 2024, di sini, hari ini.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan harga diesel akan diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula semalam, dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Bagi mengimbangi kesan kenaikan itu, kerajaan mengamalkan penyasaran subsidi diesel melalui SKDS 2.0, termasuk menetapkan harga kepada sektor yang layak seperti logistik.

Selain itu, bantuan BUDI Madani diperuntukkan kepada individu yang layak, termasuk pemilik kenderaan diesel dan petani kecil.

Dalam pada itu ditanya mengenai rungutan pengguna bahawa bantuan Budi MADANI sebanyak RM200 adalah tidak mencukupi, Hui Ying berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan kenaikan bantuan itu pada masa akan datang.

“Buat masa sekarang jumlah ini adalah kekal sebanyak RM200. Kementerian Kewangan telah mengadakan kajian dan libat urus dengan banyak pihak dan merasakan jumlah ini adalah mencukupi,” katanya.

-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373