FAM hantar dua pengadil kendali perlawanan di Jepun

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR- Kualiti yang dimiliki pengadil tempatan terus mendapat perhatian negara luar apabila dua pengadil Malaysia telah dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengendalikan dua aksi persahabatan, membabitkan pasukan Jepun dan skuad Bawah 22 (B-22) negara berkenaan, pada bulan hadapan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan memaklumkan, badan induk itu telah memilih Mohd Amirul Izwan Yaacob sebagai pengadil bagi Perlawanan Antarabangsa Tier Satu, di antara Jepun dan Venezuela di Stadium Panasonic Suita, Osaka, pada 19 Nov.

Stuart turut menjelaskan Mohd Amirul Izwan juga dipilih sebagai pegawai keempat bagi aksi persahabatan antarabangsa Tier Dua membabitkan skuad Bawah 22 (B-22) dengan skuad B-22 Colombia, di Stadium EDION Hiroshima pada 17 Nov ini.

“Mohd Yusri Muhamad pula akan bertindak sebagai penolong pengadil bagi kedua-dua perlawanan berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada Kirin Challenge Cup 2019,” jelas Stuart.

Beliau memaklumkan pemilihan pengadil berkenaan diputuskan selepas Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) menghantar jemputan kepada FAM untuk mengendalikan perlawanan membabitkan skuad Samurai Biru.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini telah memilih Mohd Amirul Izwan dan Mohd Yusri, masing-masing sebagai pengadil dan penolong pengadil satu bagi mengendalikan aksi Kumpulan B, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Kuwait dan Taiwan di Stadium Jaber al-Ahmad, Kuwait pada 14 Nov ini.

Dua lagi pegawai dari Malaysia iaitu, Mohamad Mu’azi Zainal Abidin dan Razlan Joffri Ali pula dipilih FIFA, masing-masing sebagai penolong pengadil dua dan pegawai keempat untuk perlawanan di Kuwait.

Empat lagi pengadil dari Malaysia, terdiri daripada Muhammad Nazmi Nasaruddin (pengadil), Mohamad Zairul Khalil Tan (penolong pengadil satu), Mohd Arif Shamil Abd Rasid (penolong pengadil dua,) dan Suhaizi Shukri (pegawai keempat) dilantik FIFA, untuk mengendalikan aksi Kumpulan F Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Myanmar dan Mongolia di Stadium Mandalar Thiri, Mandalay, Myanmar pada 19 Nov ini.

“FAM berharap pegawai-pegawai yang terpilih ini dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan terus konsisten, dalam tugasan yang diberikan itu, sekali gus ilmu dan manfaat daripadanya dapat digunakan untuk membantu pembangunan pengadil-pengadil di Malaysia,” jelas Stuart.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427