KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Kristal, Ewal Ismail yang pernah merasai keperitan cinta tidak kesampaian masih menjaga hubungan baik dengan bekas tunang, iaitu penyanyi Adda Baharuddin.
Biarpun Adda sudah memulakan hidup baharu dengan pilihan hati pada akhir tahun lalu, Ewal atau nama sebenar, Ikhwal Hafiz Ismail, 31, mengaku tidak sebab untuk mereka saling bermusuh.
Malah, Ewal menyifatkan dirinya dan Adda yang juga adik pemain gitar Kristal, iaitu Rody, tiada jodoh untuk hidup bersama.
“Sehingga hari ini, hubungan saya bersama Adda dan Rody sangat baik. Kami profesional dalam perkara ini.
“Kami tiada masalah selepas apa yang berlaku kerana masing-masing sudah matang.
“Adda masih lagi datang ke studio saya untuk melakukan rakaman lagu ‘cover’ dan sebagainya. Kami bekerja secara profesional, bukan budak-budak lagi,” katanya kepada BH Online.
Pada September 2021, Ewal dilaporkan bertunang dengan Adda atau nama sebenar, Nur Syuhada Baharuddin, 35.
Sementara itu, Ewal yang meraih tempat ketiga musim ke-11 program realiti, Akademi Fantasia (AF11) berkata, tiada sebab untuk dirinya bersedih terlalu lama akibat putus tunang.
“Sekarang fokus saya kepada muzik. Undangan persembahan pun masih banyak. Saya fikir lebih baik beri tumpuan kepada mencari duit dan stabilkan ekonomi.
“Saya belum terfikir untuk bercinta buat masa ini. Saya selesa dengan kehidupan solo dan banyak perkara saya hendak buat,” katanya.
Ewal bersama Kristal bakal tampil sebagai tetamu undangan menerusi Konsert Annivesari Ke- 33 Damasutra The Journey di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Oktober depan.
– BH