Enggan rugi, filem animasi Mechamato tangguh tayangan

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Situasi negara yang masih belum pulih daripada pandemik COVID-19 meletakkan syarikat animasi, Monsta dalam dilema untuk melancarkan filem animasi adiwira terbaru, Mechamato.

Filem yang dijadualkan menemui peminat pada penghujung tahun lalu terpaksa ditangguhkan lagi, selewat-lewatnya penghujung tahun ini bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin, berkata pelancaran filem animasi Mechamato sudah ditangguhkan beberapa kali bagi mencari tarikh bersesuaian. Mengikut perancangan asal, filem yang mengisahkan Amato, bapa kepada BoBoiBoy itu sepatutnya ditayangkan November atau Disember lalu.

Namun, penutupan pawagam seluruh negara menyebabkan Monsta terpaksa menyusun kembali tarikh tayangan dengan memilih Mac depan. Bagaimanapun, perancangan terpaksa ditangguh sekali lagi berikutan penemuan vaksin masih samar-samar lagi.

“Kami memilih Mac depan kerana menjangka negara bakal menerima vaksin pada Februari. Bagaimanapun, selepas dipertimbangkan semula, keputusan menangguhkan penayangan filem animasi, Mechamato adalah jalan terbaik kerana penerimaan vaksin tentunya memerlukan sedikit masa.

“Kemudiannya, Monsta memilih Mei dan Jun selepas sambutan Aidilfitri, tetapi kita masih tidak pasti bagaimana kesan vaksin dan sebagainya. Jadi, menerusi perbincangan, keputusan terbaik ialah menangguhkannya sehingga hujung tahun.

“Filem animasi Mechamato berbentuk kekeluargaan. Jadi, kami perlu memilih tarikh bersesuaian untuk tontonan seisi keluarga. Kami tidak mahu ibu bapa masih ragu untuk membawa anak ke pawagam menonton filem animasi ini. Jadi, sebagai langkah selamat, lebih baik kami memilih tayangan hujung tahun,” katanya kepada HIP.

Faiz berkata, Monsta tidak berhasrat memasarkan filem Mechamato ke platform Over The Top (OTT) seperti Astro First, Netflix dan lain-lain berikutan filem animasi itu adalah projek terbesar yang menelan belanja RM10 juta.

Justeru, pemilihan tayangan di platform OTT tidak memberi pulangan modal kepada syarikat menyebabkan Monsta terpaksa memastikan keadaan negara reda bagi membolehkan filem memasuki pawagam.

“Sebelum mencapai sebarang keputusan, kami membuat kajian terlebih dulu. Hasil kajian, kami mendapati pemilihan platform OTT tidak mendatangkan keuntungan berikutan peruntukan tinggi dikeluarkan untuk menghasilkan filem animasi Mechamato.

“Kutipan paling tinggi diraih melalui saluran Astro First menerusi filem Mael Totey hanya mengutip RM7 juta saja, sedangkan filem BoBoiBoy Movie 2 mampu mencatat kutipan RM30 juta di panggung wayang. Ia satu angka sangat besar, jadi sudah pasti pawagam menjadi pilihan untuk menayangkan filem terbaru.

“Lagipun, menonton filem sudah menjadi seperti satu keraian, suasana dan kepuasannya. Ia berbeza jika dibandingkan menonton di rumah. Dengan kualiti dihasilkan, tentulah pawagam lebih memberikan kepuasan,” katanya.

Sementara itu, perancangan menayangkan filem, sebelum diikuti siri animasi, Mechamato juga terkubur apabila rancangan bersiri akan terlebih dulu menemui penonton televisyen (TV) pada Oktober ini. Ia diikuti penayangan pada peringkat Asia Pasifik menerusi Cartoon Network, November depan.

Faiz berkata, awalnya Monsta ingin mengikuti ‘trend’ animasi antarabangsa yang memperkenalkan filem sebagai strategi mempromosikan program bersiri seperti filem animasi Kung Fu Panda, Shrek dan banyak lagi, tetapi hasrat itu tidak tercapai.

“Kami sudah mendapat kelulusan tayangan di saluran tempatan dan antarabangsa, jadi kami harus menepati perjanjian dibuat. Apa yang penting, siri Mechamato dikenali bukan saja pada peringkat tempatan tetapi juga Asia Pasifik. Siri Mechamato akan ditayangkan di Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

“Pada masa sama, kami juga ingin mengetengahkan produk keluaran syarikat dan kini, perbincangan sedang dilakukan dengan pengedar untuk pasaran Amerika Syarikat serta Eropah. Hasrat kami mahu melihat siri Mechamato diterima di luar negara,” katanya.

Konsep dan jalan cerita filem animasi Mechamato digerakkan sejak tujuh tahun lalu, namun ia melalui banyak rombakan daripada pemilihan tajuk, konsep dan logo bagi mengikut peredaran semasa. Bagaimanapun, keputusan akhir dicapai sekitar 2018 dan 2019. Filem itu sudah hampir 90 peratus siap dan memasuki fasa pos produksi.

Faiz berkata, proses menyiapkan filem animasi itu turut berdepan cabaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan tidak dapat memasuki pejabat untuk kerja penerbitan.

Trailer rasmi filem berkenaan dilancarkan 1 Januari lalu dan berjaya mencetuskan fenomena di laman sosial apabila tanda pagar #MechamatoMovie menjadi trending di tangga pertama selepas setengah jam dilancarkan.

Fenomena itu turut dirasai negara jiran, Indonesia apabila ‘Ayah BoBoiBoy’ trending di Twitter, lima hari sebelum trailer dilancarkan, manakala platform YouTube, trailer itu mencatatkan trending di tangga pertama di Malaysia dan Indonesia bagi kategori filem dengan jumlah tontonan mencecah lebih satu juta tontonan di saluran YouTube Monsta.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427