Enam individu ditipu lebih RM59,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPALA BATAS: Enam individu yang tidak sabar meraih pulangan lumayan selepas membuat pelaburan dengan syarikat dalam talian, tidak menyangka akan berakhir dengan mimpi buruk apabila menjadi mangsa penipuan, sehingga mengalami kerugian berjumlah RM59,485.

Semua mangsa yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an membuat pelaburan wang dengan syarikat yang dikenali dengan BIA 1983 Resources atau BIA Worldwide Solution.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa berminat melabur selepas termakan dengan pujukan syarikat itu yang kononnya mereka akan memperoleh pulangan wang yang berganda dari jumlah modal yang diberikan.

“Pada awal pelaburan, mangsa akan memberikan modal dalam jumlah yang kecil, sebelum menerima pulangan tiga kali ganda.

“Mangsa yang percaya seterusnya akan memberi modal yang lebih besar pada pelaburan berikutnya, namun malangnya pulangan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa sedar mereka diperdaya membuat laporan polis semalam.

“Mangsa memaklumkan mereka tidak pernah bersua muka dengan beberapa individu yang dipercayai ejen yang menjalankan aktiviti penipuan terbabit dan hanya berhubung melalui aplikasi Whatsapp serta tidak menandatangani sebarang dokumen bertulis.

“Polis menasihati orang ramai tidak mudah percaya dengan sebarang aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh mana-mana organisasi kerana tiada jalan mudah untuk mendapatkan wang.

“Mana-mana organisasi yang menjalankan aktiviti pelaburan perlulah mendapat kebenaran daripada Bank Negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427