Putrajaya: Program ePenjana dilancarkan sejak tahun lalu menyaksikan pendaftaran empat juta pengguna e-dompet baharu.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata selain itu, lebih dari 36,000 peniaga mendaftar dengan penyedia e-dompet.
Beliau berkata, pihaknya berharap supaya momentum ini terus dikekalkan melalui Pogram eBelia, sebagai
kesinambungan usaha kerajaan memacu peralihan digitalisasi kewangan.
“Baru-baru ini juga melalui tinjauan umum, didapati bahawa orang ramai menggunakan lebih daripada satu e-dompet.
“Penyedia perkhidmatan e-dompet yang terbabit dalam eBelia secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih 1 juta peniaga di dalam dan di luar talian.
“Jaringan yang kukuh dan luas ini membolehkan program eBelia ini dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara dan mencapai lebih ramai belia dan pelajar,” katanya pada Pelancaran Program eBelia secara maya, pagi tadi.
Program berkenaan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan seperti PENJANA, apabila menyedari implikasi pandemik Covid-19 terhadap belia.
Beliau berkata, ia termasuk menggalakkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan belia untuk beralih ke platform digital melalui kempen e-Dagang PKS dan Shop Malaysia Online masing-masing bernilai RM70 juta, bagi menggalakkan perbelanjaan rakyat dan belia secara dalam talian.
Selain itu, katanya, pelbagai langkah khusus untuk belia diwujudkan melalui Belanjawan 2021, antaranya Program Perantisan Nasional bernilai RM250 juta apabila setiap majikan diberikan insentif RM1,000 selama tiga bulan dan geran sehingga RM4,000 untuk program latihan.
Beliau berkata, program eBelia yang dilancarkan hari ini juga membabitkan peruntukan bernilai RM300 juta bagi membantu dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.-METRO