Empat ahli Geng 36 samun berkumpulan didakwa

Estimate Reading Time: 2 minutes

MELAKA: Dua beradik ahli kongsi gelap Geng 36 serta dua lagi rakan mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan menggunakan sebilah parang, awal bulan ini.

Tertuduh, M. Jeyamurugan, 37, bersama adiknya, Rejenderan, 35, dan rakan, M.Murali, 32, serta K. K Anbu Kaniyan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompak berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap mangsa, Lee See Kiat, 54, dan mengambil harta melibatkan kerugian kira-kira RM500,000.

Antara barang yang diambil termasuk sebatang taring dan kuku binatang, 13 bilah pedang pelbagai jenis, seutas jam Patek Philippe, sebuah bekas tertera tulisan Doshermano di dalamnya mengandungi curut berwarna coklat dan empat bilah keris.

Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di tingkat 12-1 Kondominium Lagenda Jalan Klebang Besar/Kecil dalam daerah Melaka Tengah, 5 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan di bawah kanun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat manakala hukuman wajib sebat bagi Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan memaklumkan mangsa kejadian merupakan kenalan kepada salah seorang tertuduh dan bimbang dengan keselamatan mangsa, selain tertuduh mempunyai rekod lampau jenayah.

Tertuduh diwakili peguam Alif Ahmad Tarmizi bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan masing-masing, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan tarikh 21 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis memberkas lima ahli kongsi gelap Geng 36 yang dikesan melakukan samun berkumpulan membabitkan kerugian RM1.2 juta dengan menggunakan kenderaan mewah di sebuah kondominium di Klebang.

Suspek didakwa telah mengikat mangsa dan isterinya berusia 42 tahun sebelum melarikan pelbagai barang antik serta sebuah kenderaan utiliti sukan jenis (SUV) Range Rover.

Kesemua suspek menetap di Lembah Klang dan merentas ke Melaka menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang diberikan kepada syarikat milik salah seorang daripada mereka.

Pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek juga mendapati terdapat pelekat mirip logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipamerkan di cermin hadapan.-UTUSAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427