Eksport bijirin pertama Ukraine ditolak pembeli

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISTANBUL: Kapal pertama dari Ukraine membawa muatan bijirin, Razoni, terpaksa mencari pembeli baharu selepas pembeli asal dari Lubnan enggan menerimanya atas alasan penghantaran lewat lebih lima bulan.

Kedutaan Ukraine di Lubnan berkata ia adalah kapal pertama membawa keluar bijirin dari Ukraine selepas Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjaya berunding dengan Russia bagi mendapatkan laluan selamat di Laut Hitam.

“Berdasarkan maklumat daripada pengeksport bijirin berkenaan yang kini diangkut Razoni, pembeli di Lubnan enggan menerimanya kerana gagal menepati jadual penghantaran.

“Justeru, pengeksport kini sedang mencari pembeli lain untuk menurunkan muatannya sama ada di Lubnan atau Tripoli atau mana-mana negara atau pelabuhan lain,” katanya menerusi paparan di Facebook.

Razoni meninggalkan pelabuhan di Odesa minggu lalu membawa 26,527 tan jagung dan dijadualkan tiba di Lubnan Ahad lalu tetapi mengubah haluan ke pelabuhan Mersin di Turkiye dan kini berlabuh di perairan selatan Turkiye, menurut data pengesan kapal, Refinitiv.

PBB dan Turkiye memuktamadkan perjanjian bulan lalu selepas amaran bahawa tindakan menghentikan eksport bijirin Ukraine susulan pencerobohan Russia boleh mengakibatkan masalah kekurangan makanan global, malah kebuluran di sesetengah tempat di dunia.

Setakat ini, sekitar 243,000 tan jagung sudah dieksport dari Ukraine menggunakan tujuh kapal, dengan penghantaran pertama pada 1 Ogos lalu, menurut perkiraan Reuters berdasarkan data Kementerian Pertahanan Turkiye.

– REUTERS -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427