PARIT BUNTAR, 30 Mac — Seorang daripada dua lelaki yang sebelum ini dilaporkan hilang di perairan Kerian dalam dua insiden berasingan, ditemukan lemas pada 1 tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau Lt. Maritim Mohd Faiz Sujari berkata mayat warga Indonesia itu ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi bot yang dinaikinya terbalik.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Pengkalan Pasukan Polis Marin, Kuala Kurau, di sini dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, dilaporkan dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia, dilaporkan hilang di perairan Kerian, selepas masing-masing terjatuh dari bot dalam dua kejadian berasingan pada malam tadi dan awal hari ini.
Mohd Faiz berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pertama pada 9.40 malam, membabitkan insiden bot membawa muatan kayu bakau terbalik di perairan Kuala Gula akibat cuaca buruk.
Kejadian itu menyebabkan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Gong Drong hilang, sementara dua lagi kru yang merupakan warga tempatan, berjaya berenang ke sangkar ikan berhampiran.
“Pada 3 pagi tadi, kami menerima satu lagi maklumat kehilangan seorang nelayan warga tempatan dikenali Cheah Teang Kee, 61, yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Piandang ketika sedang memukat ikan,” katanya.
Katanya berdasarkan maklumat awal, mangsa keluar menangkap ikan pada 2 petang semalam sebelum sampannya dijumpai hanyut oleh komuniti nelayan di kedudukan kira-kira lapan bantu nautika di barat Tanjung Piandang.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat nelayan berkenaan diteruskan dengan kawasan pencarian diperluas hingga ke perairan Kuala Kurau. – BERNAMA