Dua beradik penyamun ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

Petaling Jaya: Polis menahan reman dua beradik disyaki menyamun kedai serbaneka di kawasan SS2 di sini, hingga Khamis ini.

Mereka sebelum itu ditahan di sebuah rumah di Kelana Jaya di sini pada 12.10 tengah malam Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, samun dilakukan pada 30 April lalu dengan suspek berusia 30 dan 35 tahun menggunakan senjata pisau dan melarikan wang jualan serta rokok pelbagai jenama bernilai keseluruhan RM1,800.

“Susulan laporan, serbuan dibuat ke atas sebuah rumah dan merampas pelbagai barangan disyaki hasil samun antaranya, wang tunai RM656, pisau pemotong daging, gergaji, telefon bimbit, motosikal dan pakaian digunakan yang dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV).

“Soal siasat ke atas mereka juga menemukan kediaman lain di Sungai Way yang dijadikan tempat menyimpan barang samun. Kita merampas enam telefon bimbit, 11 kotak rokok dan pakaian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek mengaku terbabit dengan tujuh kes samun dengan suspek pertama memiliki satu rekod jenayah dan dadah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah dan satu kesalahan dadah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, katanya, seorang lelaki turut ditahan pada Jumaat lalu kerana disyaki memecah masuk kedai dobi di Sri Damansara yang menyebabkan mangsa beruisa 56 tahun kerugian RM3,000.

“Sepasukan polis menahan suspek berusia 29 tahun di sebuah rumah apartmen di Kepong, Kuala Lumpur pada jam 11.35 pagi dan merampas pelbagai barangan.

“Hasil soal siasat terhadap suspek mendedahkan pembabitannya dalam empat kes pecah kedai dobi dan dua kes pecah kedai di sekitar kawasan Sri Damansara,” katanya yang memberitahu suspek direman sehingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427