Kuala Lumpur: Sentiasa berusaha untuk meningkatkan diri dan kerjaya dengan melakukan penerokaan dalam bidangnya membuatkan seorang pensyarah menerima Anugerah Merdeka 2024 kategori Alam Sekitar.
Pensyarah bidang geologi alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Joy Jacqueline Pereira, berkata beliau percaya kejayaan yang diperoleh itu hasil usaha keras dalam kerjayanya selama ini.
Katanya, dia amat berbangga dengan pengiktirafan itu malah yakin sedang membuat perubahan positif kepada masyarakat dan alam sekitar, khususnya dalam merapatkan jurang sains dasar dalam perubahan iklim dan membina ketahanan bencana untuk pembangunan mampan.
“Pengiktirafan ini juga penting untuk mendedahkan kepada keluarga, rakan dan rakan sejawat saya bahawa kepercayaan dan sokongan mereka kepada saya tidak sia-sia,” katanya.
Dr Joy dengan latar belakang dalam geologi alam sekitar, berkata beliau bertuah kerana mempunyai akses kepada sekumpulan pakar yang sangat berinspirasi antaranya Akademi Sains Malaysia.
Katanya, akademi itu terdiri daripada kumpulan mempunyai pencapaian membanggakan dan sanggup meluangkan masa memberi inspirasi kepada rakan sebaya dan saintis terutama masih baru dalam bidang itu.
“Saya juga amat terinspirasi dengan dedikasi penjawat awam dan pihak berkuasa tempatan pernah saya bekerjasama sebelum ini malah ada sudah bersara.
“Terima kasih atas kerjasama tidak berbelah bahagi dalam usaha menjadikan negara lebih baik,” katanya pernah menyertai projek diketuai oleh Profesor Lord Julian Hunt dari Trinity College, Cambridge.
Katanya, antara kenangan terbaik sepanjang kerjayanya adalah mengetuai inisiatif kerjasama mengenai perubahan iklim yang membabitkan saintis, pengamal dan pembuat dasar dari Malaysia dan negara lain.
“Banyak pengetahuan dan pengalaman yang saya peroleh sepanjang mengetuai projek berkenaan malah saya turut diberikan kredibiliti untuk menyertai Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dan menyumbang kepada beberapa Laporan IPCC sejak 2014.
“Malah kenangan penting dalam kerjaya saya ialah apabila berpeluang menyampaikan ucaptama mengenai penemuan IPCC pada Simposium dwipartisan sulung mengenai Perubahan Iklim pada September 2022.
“Selain itu kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila saya dipilih sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja IPCC mengenai Mitigasi Perubahan Iklim,” katanya.
Akuinya masanya lebih banyak digunakan dalam penyelidikan untuk menyediakan maklumat berasaskan bukti untuk pembuat dasar untuk kebaikan masyarakat dan alam sekitar.
Cabaran utama adalah menghubungkan antara dasar sains untuk membina kepercayaan dan keyakinan terhadap penemuan saintifik antara cabaran utama dihadapi dalam bidang
Cabaran dalam kerjaya
Berkenaan cabaran terbesar sepanjang kerjayanya, Dr Joy berkata, cabaran utama dalam bidang itu seharusnya memerlukan tahap kepercayaan yang tinggi terhadap penyelidik dan keyakinan terhadap penemuan memudahkan pengambilan maklumat berasaskan bukti untuk membuat dasar.
“Untuk mengatasi cabaran ini, penting untuk ada sifat keterbukaan, ketelusan dan komunikasi ketika menjalankan penyelidikan,” katanya.
Justeru, dia menasihati anak muda supaya sentiasa bekerja keras, elakkan konflik dan sentiasa bertolak ansur dalam apa juga diusahakan.
“Kedudukan dan pengiktirafan diperoleh kadang kala mudah dilupakan, jadi sentiasa merasa rendah diri dan terus berusaha maju ke hadapan,” katanya.
-BeritaHarian