PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2022 sebanyak 3.05 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM266.17 juta.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia akan memberi manfaat kepada 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.
Beliau berkata, jumlah itu menjadikan agihan dividen secara keseluruhannya bernilai RM1.33 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004.
“Pemberian dividen 3.05 peratus ini bukan sahaja lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3 peratus pada 2021.
“Malah kadar dividen yang kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di sesetengah bank yang menawarkan kadar faedah keuntungan antara hanya 2.05 peratus sehingga 2.75 peratus,” katanya pada pengumuman dividen Simpan SSPN 2022 di kementeriannya hari ini.
Beliau berkata, PTPTN turut mengumumkan ganjaran kesetiaan sebanyak satu peratus kepada pendeposit Simpan SSPN Prime sebagai tanda penghargaan.
“Ganjaran kesetiaan itu diberikan kepada kepada pendeposit yang setia menyimpan dalam Simpan SSPN Prime selama ini.
“Ganjaran kesetiaan ini akan dinikmati pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi iaitu bermula 5 April 2023 hingga 31 Julai 2023,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, insentif itu juga layak disertai pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 hingga 31 Disember 2019.
Beliau berkata, setakat ini, jumlah deposit dalam Simpan SSPN bernilai RM14.24 bilion sejak instrumen simpanan itu dibuka pada 2004.
Katanya, deposit Simpan SSPN yang diterima itu berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal sebanyak RM2.8 bilion.
“Dari segi pembukaan akaun baharu, sebanyak 491,984 akaun dibuka pada 2022 berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun,” katanya.
Selain itu, PTPTN turut mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM500,000 untuk 138 pemenang.
Tempoh promosi bermula 1 Januari 2023 dan akan berakhir pada 31 Disember 2023.
Sempena musim perayaan ini, pendeposit berpeluang menyertai Kempen Cabutan WOW! Syoknya Raya yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 untuk 23 pemenang.
Tempoh promosi bermula pada 1 Mac lalu hingga 31 Mei ini. – Berita Harian