KUALA TERENGGANU: Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Ia membawa maksud segala-galanya yang dikehendaki atau diperlukan sudah pun diperoleh.
Itu peribahasa tepat untuk menggambarkan sistem pendidikan di negara ini yang semakin lengkap dengan adanya saluran khusus TV pendidikan secara terestrial iaitu DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilancarkan Rabu lalu, untuk membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).
Presiden Persatuan Lepasan Asasi Sains Universiti Malaya (PLAS), Datuk Ir Wan Nazari Yusoff, berkata ketika ini keberkesanan pendidikan sangat bergantung kepada sikap ibu bapa dalam memantau aktiviti anak mereka di rumah memandangkan kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai bagi semua golongan rakyat untuk membantu melancarkan lagi pelaksanaan PdPR.
“DidikTV KPM ini sepatutnya dilaksanakan lebih awal lagi pada tahun lalu semasa sekolah diarah tutup, namun ia masih belum terlambat untuk rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan baharu ini.
“Kini, tiada lagi alasan masalah peranti atau capaian Internet yang lemah kerana DidikTV KPM adalah penyelesaian terbaik. Saya juga melihat pentingnya peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah agar pemantauan untuk menilai tahap kefahaman pelajar dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau yang juga bekas Yang Dipertua PIBG Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit di Kuala Nerus berkata, setiap ahli jawatankuasa PIBG juga boleh dilantik menjadi mentor untuk setiap tingkatan di sekolah.
“Konsep mentor mentee antara ibu bapa, guru dan AJK PIBG yang dilantik sebagai pemantau ini penting untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan DidikTV KPM dan kaedah PdPR yang lain agar berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.
Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV KPM menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari untuk meningkatkan akses pendidikan seluruh negara.
Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Tersat, Hulu Terengganu, Nor Suhaimi Abdul Latif pula, DidikTV KPM akan lebih menarik minat murid kerana sistem audio visualnya yang lebih cantik, jelas dan besar bergantung kepada saiz televisyen di rumah.
Katanya, ia lebih mudah kerana boleh ditonton pada bila-bila masa, sama ada secara siaran langsung atau ulangan, malah ibu bapa juga akan menikmati penjimatan dalam pembelian data Internet.
“Apa yang perlu dilakukan ibu bapa hanya pantau anak mereka agar mengikuti PdPR dengan mengikut jadual yang disediakan. Bagi guru pula, mereka boleh menyediakan soalan secara salinan kerja rumah atau ‘google sheet’ kepada murid sama ada sebelum atau selepas siaran.
“Murid boleh menghantarnya di pondok jaga sekolah atau di pusat komuniti terpilih dan dipungut oleh guru. Jika secara ‘google sheet’, guru boleh memeriksa kerja sekolah murid secara terus apabila murid menyiapkannya secara dalam talian,” katanya yang yakin DidikTV KPM akan menjadi pilihan terbaik untuk murid terutama di kawasan pedalaman.
Sementara itu, Pengetua SMK Seri Cheneh, Kemaman Mohamad Saberi Salleh berkata, tempoh siaran DidikTV KPM dari pagi hingga ke malam dapat memberi peluang kepada ibu bapa untuk sama-sama memantau aktiviti PdPR anak mereka selepas waktu kerja atau apabila mereka berada di rumah.
“Setiap pengajaran dan pembelajaran kebiasaannya dirancang mengikut Rancangan Pelajaran Tahunan dan Mingguan oleh guru.
Dalam hal ini, guru perlu ada jadual Rancangan DidikTV KPM ini supaya apa yg dirancang selari dengan jadual mereka.
“Dari segi menilai kefahaman pelajar pula, guru masih boleh memantau dengan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk terus membimbing pelajar mereka,” katanya sambil berharap semua pihak khususnya ibu bapa dan murid memanfaatkan sepenuhnya DidikTV KPM demi kecemerlangan anak mereka. – BERNAMA