Datasonic, MMU memeterai MoU kerjasama inovasi digital, pendidikan dan penyelidikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, Datasonic Group Berhad (Datasonic) dan Universiti Multimedia (MMU), hari ini, memeterai memorandum persefahaman (MoU) bertujuan memupuk usaha kolaboratif berkaitan inovasi digital, pendidikan dan penyelidikan.

MoU dalam bidang pendidikan tinggi itu antara lain akan mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara, bagi membolehkan lebih ramai penuntut United Kingdom (UK) melanjutkan pengajian di Malaysia dan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam penyelidikan serta pertukaran penuntut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Noordin, berkata kerjasama pendidikan itu menandakan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk meneroka dan menilai kebolehlaksanaan projek secara bersama dalam beberapa bidang utama.

Katanya, bidang itu termasuk membentuk Kumpulan Penyelidikan Bersama yang memberi fokus pada Identiti Digital, Keselamatan Siber, Kepintaran Buatan (AI), dan Metaverse.

“Selain itu, terdapat juga rancangan menubuhkan makmal pembangunan dan penyelidikam Metaverse di MMU.

“Perjanjian ini termasuk peruntukan untuk pelajar mendapat manfaat daripada peluang latihan, prospek pembangunan kerjaya, dan program bantuan kewangan bertujuan meningkatkan pendedahan praktikal dan pertumbuhan akademik…Datasonic juga akan menjadi sebahagian daripada program iCadet MMU,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MOU di Ekspo dan Persidangan Asia Perkhidmatan Digital, Pertahanan & Keselamatan Siber (“CyberDSA”) 2023, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud dan Naib Presiden, Akademik dan Pembelajaran Inovatif, Ir Madya Dr Wong Hin Yong serta Pengarah Eksekutif Datasonic, Chia Kok Khuang.

Beliau berkata, perkongsian antara Kumpulan Datasonic dan MMU adalah satu langkah besar ke hadapan bagi memupuk inovasi, penyelidikan dan pendidikan dalam bidang teknologi digital.

Kerjasama itu juga bertujuan memanfaatkan sinergi antara kepakaran industri dan kecemerlangan akademik, selain memperkasakan pelajar dan profesional untuk berkembang maju dalam era digital yang sentiasa berkembang.

“Kerjasama ini melangkaui bidang tumpuan sedia ada, kerana kedua-dua pihak komited untuk meneroka aktiviti tambahan secara bersama tambahan yang boleh membawa manfaat.

“Perkongsian ini dijangka dapat mewujudkan ekosistem holistik di mana penyelidikan terkini dan pengalaman secara terus akan bergabung bagi memupuk generasi baharu profesional mahir digital yang serba lengkap bagi membentuk masa depan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Dr Mazliham, berkata kerjasama dengan pihak industri adalah sangat penting bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang teknikal namun pada masa yang sama bersedia untuk alam pekerjaan.

Sehubungan itu, katanya, bagi memastikan pelajar bersedia untuk alam pekerjaan adalah antaranya memastikan apa yang diajar selari dengan keperluan industri.

“Kalau tiada hubungan antara universiti dan industri, sudah tentu kami tidak akan mengetahui apa yang diperlukan.

“Yang kedua, kita kena pastikan pelajar ini didedahkan dengan pengalaman industri, di mana dari tahun dua mereka sudah diberi pilihan selain industri juga boleh memilih pelajar yang sesuai dijadikan kadet mereka,” katanya.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427