Dagangan Bursa Malaysia bermula lemah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan trend menurunnya untuk dibuka rendah pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah pasaran-pasaran saham semalaman Amerika Syarikat (AS).

Prestasi lesu saham di AS adalah berikutan kebimbangan yang kian memuncak mengenai penularan varian Delta COVID-19 Delta yang mungkin membantutkan pertumbuhan ekonomi, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.19 mata kepada 1,575.70 berbanding 1,578.89 ketika ditutup pada petang urus niaga Khamis.

Indeks utama dibuka 2.75 mata lebih rendah pada 1,576.14.

Pergerakan harga di pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 204 berbalas 174, manakala 306 kaunter tidak berubah, 1,563 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan 409.70 juta unit bernilai RM144.65 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, secara keseluruhan, FBM KLCI dan pasaran yang lebih luas merosot apabila dana asing beralih kepada penjualan bersih yang menyaksikan aliran keluar bersih berjumlah RM63.0 juta semalam.

Ia menambah, kaunter sarung tangan terus menyusut di tengah-tengah kemajuan pemberian vaksin.

“Namun begitu, kami menjangkakan tema pemulihan akan tetap menjadi fokus berikutan jangkaan pembukaan kembali lebih banyak kegiatan ekonomi,” katanya.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah merosot, sementara harga aluminium terus meningkat.

Firma broker itu berkata pelabur cenderung untuk kekal optimis dengan tema pemulihan dan memberi tumpuan kepada sektor pemulihan seperti pembinaan, bangunan, bahan, perbankan dan pengguna serta pengangkutan dan logistik.

Ia turut ambil maklum mengenai ucaptama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara semalam yang mana beliau menyatakan kerajaan berhasrat mempunyai liputan 5G di 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024.

“Ini adalah baik untuk kaunter yang berkaitan dengan 5G,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah tiga sen kepada RM8.29 dan RM7.88, IHH Healthcare naik 11 sen kepada RM6.72, Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM10.24 sementara Public Bank tidak berubah pada RM4.10 .

Bagi kaunter aktif, KNM menambah satu sen kepada 27 sen, Tanco naik setengah sen kepada 24 sen, Dagang Nexchange turun satu sen kepada 72.5 sen sementara TFP Solution dan Impiana masing-masing tidak berubah 23 sen dan 9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 14.53 mata kepada 11,520.0, Indeks FBMT 100 turun 15.80 mata pada 11,215.87, dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 25.55 mata kepada 12,614.99.

FBM 70 meningkat 5.87 mata kepada 15,070.36 dan FBM ACE menambah 9.30 mata kepada 7,202.86.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 20.75 mata kepada 6,632.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.19 mata kepada 199.76 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.45 mata kepada 15,394.36. -BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427