Melaka: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila merampas dadah jenis syabu bernilai RM 4.2 juta susulan penahanan empat individu.
Kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 12 dan 13 Mei di Tanjung Kling dan Muar, Johor.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, rampasan dadah dipercayai syabu seberat 104, 604 gram itu hasil kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata, kesemua dadah itu dirampas dalam serbuan di dalam kereta Volkswagen Passat dinaiki dua lelaki, di Tanjung Kling, pada 5.30 petang, 12 Mei lalu.
“Mereka dipercayai sedang menunggu untuk membawa dadah berkenaan melalui jalan laut ke satu lokasi lain.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui ruangan khas yang diubah suai di belakang tempat duduk bahagian but kereta yang diletakkan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan tangkapan dua suspek itu polis melakukan serbuan kedua pada jam 6.24 pagi keesokan harinya di sebuah rumah di Muar dan menahan dua lagi individu iaitu seorang ahli kimia berusia 40 tahun serta teman wanitanya.
“Siasatan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak setahun lalu dan kesemua dadah itu dikatakan untuk pasaran luar negara.
“Dari mana bekalan dadah berkenaan diperoleh masih dalam siasatan dan kita percaya dadah itu akan ditransit ke sebuah negara lain sebelum dihantar ke lokasi sebenar,” katanya.
Abdul Majid berkata, modus operandi digunakan sindiket ini untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) adalah dengan menggunakan surat dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) yang palsu dengan mengisytiharkan menjalankan perniagaan membekalkan alat ganti kenderaan.
“Semakan dilakukan juga mendapati kesemua suspek yang berusia antara 33 hingga 50 tahun mempunyai rekod jenayah lampau.
“Selain dadah turut dirampas tiga Perodua Myvi, pelbagai bentuk barangan kemas, wang tunai serta mata wang asing yang kesemuanya berjumlah RM117, 116.08,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-METRO