KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan negeri bersetuju mengisytiharkan 24 Dis sebagai cuti umum tambahan di Sabah sempena Krismas.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan dan permintaan rakyat di Sabah terutama mereka yang menyambut perayaan itu.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor bersetuju mengisytiharkan 24 Dis 2020 sebagai cuti umum tambahan.
“Pihak kerajaan juga mengingatkan rakyat yang balik kampung agar berhati-hati dalam perjalanan dan utamakan keselamatan serta sentiasa mematuhi SOP COVID-19 yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kerajaan GRS ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru 2021,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan dikeluarkan Jeffrey itu menjawab persoalan rakyat Sabah sama ada cuti umum tambahan sempena Krismas pada 24 Dis diteruskan seperti sebelum ini atau tidak.
Sebelum ini, Sabah menjadi negeri pertama yang memberikan cuti tambahan sempena Krismas tahun lalu iaitu ketika pentadbiran Warisan Plus.-FMT