KINABATANGAN: Polis menumpaskan sindiket mencuri motosikal yang aktif sejak beberapa bulan lalu dengan penahanan tiga lelaki termasuk dalang kumpulan berkenaan.
Semua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kinabatangan bersama pasukan Task Force Bahagian Siasatan Jenayah IPK Kota Kinabalu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sinar Baru, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Mohd Zulfikar Abd Salam, berkata hasil siasatan ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an adalah ahli kumpulan sindiket curi motosikal.
“Dengan dipandu arah oleh ketiga-tiga suspek ke sebuah garaj di bawah sebuah rumah di lokasi berhampiran, pasukan serbuan berjaya menemukan empat motosikal pelbagai jenama.
“Pemeriksaan mendapati dua daripada keempat-empat motosikal berkenaan dilaporkan hilang di Kota Kinabalu bersabit laporan polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kegiatan curi motosikal di Kota Kinabalu dan Ranau.
“Semua suspek bersama motosikal yang dirampas kemudiannya dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kecurian motosikal supaya menyalurkannya dengan menghubungi Hotline IPD Kinabatangan di talian 089-561890 atau balai polis berhampiran.
-BeritaHarian