Cubaan seludup gula, minyak masak gagal

Estimate Reading Time: < 1 minute

TUMPAT: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 144 paket gula dan 170 paket minyak masak dalam Op Kontraban di Pangkalan Haram Pok Kob, Simpangan di sini, petang semalam.

Gula dan minyak masak dianggarkan bernilai RM1,083.20 terbabit dirampas dalam sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang dipercayai ditinggalkan penyeludup di tebing Sungai Golok, selepas diserbu pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata serbuan dibuat anggotanya bersama pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada jam 4.30 petang semalam, di sekitar Kampung Simpangan.

“Sekumpulan lelaki yang berada di lokasi menyedari kehadiran kami dan bertindak melarikan diri dengan menaiki bot galah ke arah negara jiran (Thailand) dan meninggalkan sebuah kereta jenis Proton Gen2,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu mendapati ia dipenuhi kotak yang mengandungi gula pasir dan minyak masak untuk diseludup ke Thailand menggunakan bot galah menyeberang Sungai Golok.

“Semua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Kompani Taktikal Kuala Jambu dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427