COVID-19: WHO setuju buat siasatan virus selepas ancaman Trump

Estimate Reading Time: < 1 minute

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju melancarkan siasatan berhubung reaksi terhadap coronavirus, selepas Beijing menuduh Washington mengabaikan tanggungjawab, susulan ugutan Presiden Donald Trump untuk meninggalkan agensi naungan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata perkara membabitkan COVID-19 adalah satu keutamaan, memandangkan virus berkenaan mendatangkan kematian besar dan kemelut ekonomi yang serius.

Jumlah kematian di beberapa kawasan panas terus meningkat, dengan Britain mendedahkan bahawa lebih daripada 41,000 pesakit COVID-19 sudah meninggal dunia.

Beberapa bahagian lain dunia juga sudah mula merasa penularan sepenuhnya pandemik itu seperti Amerika Latin, yang menyaksikan Brazil mengatasi Britain, untuk muncul sebagai negara dengan jumlah jangkitan ketiga tertinggi dunia, iaitu 255,000 kes.

Berada di bawah tekanan ekoran kematian dan jangkitan mengatasi negara lain menyaksikan Trump menuduh WHO menjadi boneka Beijing dan gagal melakukan sepatutnya untuk memerangi penularan COVID-19 di peringkat awal.

Beliau pada Isnin mengancam untuk membekukan selamanya bantuan Amerika Syarikat (AS) ke atas badan dunia itu.

Beijing menjawab tuduhan berkenaan, dan berkata Trump cuba mencemarkan nama baik China serta memusnahkan WHO demi kepentingan politik peribadi beliau.

“AS cuba menggunakan China untuk lari daripada tanggungjawab mereka ke atas WHO,” kata jurucakap kementerian luar China, Zhao Lijian.

Ugutan Trump itu turut menerima kecaman Russia.

“Kami menentang sebarang usaha memusnahkan sesuatu berdasarkan kepentingan politik pihak tertentu atau manfaat geopolitik,” kata timbalan menteri luar Russia, Sergei Ryabkov dipetik agensi berita Interfax

– AFP


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464