JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor menafikan sebuah sekolah di Seelong, Kulai, dekat sini, diarah tutup hari ini akibat COVID-19.
Pengarahnya, Shaharuddin Saari ketika dihubungi, berkata dakwaan yang tersebar sejak tengah hari adalah tidak benar dan amat tidak bertanggungjawab.
“Tiada mana-mana sekolah di negeri ini ditutup berikutan penularan COVID-19, setakat ini. Berita yang tular berkenaan adalah tidak benar dan sangat tidak bertanggungjawab kerana hanya mencetuskan panik dalam masyarakat.
“Hanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mempunyai kuasa buat keputusan menutup mana-mana sekolah termasuk di negeri ini. Setakat ini tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan dua agensi itu bagi Johor, ” katanya.
Sejak tengah hari tadi, dakwaan penutupan sebuah sekolah vernakular di Seelong tular di media sosial dan aplikasi sembang WhatsApp, menyebabkan ramai penduduk sekitar kawasan berkenaan panik. -BERITA HARIAN