KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak terus melaksanakan program sanitasi awam bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negeri ini.
Beberapa kawasan tumpuan termasuk destinasi pelancongan di pusat bandar raya ini menjalani operasi nyah cemar hari ini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata antara lokasi program itu ialah di Tuo Pek Khong yang kerap dikunjungi pelancong di bandar raya ini.
Selain itu, operasi nyah cemar dilaksanakan di Carpenter Street dan Ewe Hai Street.
“Operasi nyah cemar sekitar Kuching hari ini turut dijalankan di Taman Hui Sing, Pasar Sungai Apong dan sanitasi bas di Dormani.
“Di Miri pula, program sanitasi dijalankan terhadap bas dari Lapangan Terbang Miri khususnya yang membawa penumpang yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Beliau berkata, bas milik Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri turut menjalani proses nyah cemar.
“Sejak 30 Mac lalu hingga hari ini, sebanyak 53 program sanitasi awam dijalankan JBPM Sarawak di seluruh negeri ini.
“Program itu turut disertai pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan dan juga pihak berkuasa lapangan terbang,” katanya.