TOKYO: Penganjuran sukan Olimpik Tokyo 2020 akan dibatalkan sekiranya pandemik COVID-19 masih gagal dikawal menjelang tahun hadapan.
Presiden Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020, Yoshiro Mori berkata, penangguhan seterusnya adalah mustahil untuk dilakukan.
Pandemik berkenaan sebelum ini memaksa temasya berkenaan ditangguhkan selama setahun, sebelum dianjak kepada tarikh baharu iaitu pada 23 Julai 2021.
Dalam satu wawancara bersama akhbar harian Nikkan Sports, Mori ketika ditanya jika temasya itu boleh ditangguhkan sehingga 2022 berkata, ia adalah mustahil.
“Jika keadaan memaksa, ia akan dibatalkan,” katanya.
Menurut Mori, pembatalan Sukan Olimpik hanya pernah dilakukan ketika waktu perang dan menyifatkan usaha membanteras COVID-19 sebagai proses memerangi musuh yang tidak nyata.
“Jika virus berkenaan berjaya dikawal, kita akan adakan ia dengan aman pada musim panas depan dan tamadun manusia bergantung harap kepada perkara ini,” katanya.
Di bawah tekanan hebat atlet dan persatuan sukan, penganjur Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Mac lalu bersetuju menangguhkan acara berprestij terbabit selama setahun.
Pegawai dan penganjur Jepun berkata, penangguhan berkenaan akan membuka peluang untuk dunia mempersembahkan kejayaan memenangi virus maut itu. – AFP