Situasi COVID-19 dilihat membimbangkan dengan jumlah kes positif pernah dicatatkan melebihi 20,000 sehari dan tambah parah apabila kehadiran varian delta virus corona menjadikan jangkitannya lebih pantas.
Bagi menangani pandemik itu, pengurusan COVID-19 terbahagi kepada beberapa peringkat, termasuk pemberian vaksin bagi mengekang penularan.
Jika terus berlaku, pesakit bergejala, ubat-ubatan mengawal simptom seperti batuk dan demam, antivirus mungkin akan diberikan.
Sekiranya pesakit masuk ke fasa keradangan, ubat antiradang dan anti-pembekuan darah pula akan dimulakan.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada ubat yang betul-betul boleh membasmi virus COVID-19.
Jika dibandingkan dengan bakteria dan kulat, virus adalah mikroorganism yang sangat seni saiznya.
Kenapa virus COVID-19 sukar dibasmi? Secara umumnya, virus adalah bersifat lengai. Tetapi apabila virus ini berkontak rapat dengan sel perumah seperti manusia, virus ini akan diaktifkan dan hidup untuk menyebabkan jangkitan.
Mengulas lanjut, Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Makmor Bakry, berkata virus tidak mempunyai sistem biologi hidup seperti organisma lain seperti sistem metabolism atau kebolehan untuk membiak dengan sendiri.
Katanya, ciri pelik itu menyebabkan virus sukar dihapuskan melalui sasaran molekul ubat atau antivirus.
“Virus menyerang dan mengambil alih sel perumah untuk membiak. Serangan ini bergantung kepada pepaku protein pada permukaan virus dan protein pada permukaan sel perumah.
Pepaku protein virus COVID-19 mudah terlekat kepada protein yang terdapat pada sel paru-paru,” katanya.
Punca lebih dominan
Justeru, inilah puncanya, COVID-19 lebih dominan menyebabkan penyakit pernafasan. Jangkitan yang teruk boleh menyebabkan sistem imun dirangsang luar kawalan, ia akan menyebabkan ribut sitokin atau keradangan teruk.
Katanya, ini adalah punca utama pesakit COVID-19 mengalami pneumonia (jangkitan paru-paru) lebih teruk atau kategori empat dan lima.
Kebolehan untuk virus COVID-19 mengubahsuai dirinya kepada varian-varian baharu seperti alfa, beta, gamma dan delta dan menyerang sistem tubuh dengan lebih pantas juga menyumbang kepada kegagalan rawatan ubat.
Ubat antivirus sukar untuk dibangunkan
kerana ia harus berfungsi kepada virus secara spesifik.
“Disebabkan cara virus membiak adalah menggunakan sel perumah, antivirus yang direka juga mungkin boleh merosakkan sel perumah dan menyebabkan kesan mudarat lain,” katanya.
Kesan kurang memberangsangkan
Virus corona dalam keluarga yang sama seperti MERS-CoV and SARS juga tidak semestinya boleh dibasmi oleh antivirus yang sama.
Dari awal pandemik COVID-19, pelbagai ubat-ubatan dikaji dan dicuba sebagai ubat pencegahan atau rawatan di seluruh dunia.
Bagaimanapun, kebanyakan rawatan tidak menunjukkan kesan yang memberangsangkan.
Sebagai contoh hydrochoroquine, kajian klinikal menunjukkan ia tidak menurunkan kadar kematian atau keperluan untuk bantuan pernafasan.
Malahan, hydrochloroquin menyebabkan lebih
banyak kesan sampingan walaupun ia tidak meningkatkan kesan mudarat serius.
Remdesivir pula adalah antiviral yang gagal dalam kajian untuk merawat Ebola.
Kajian dalam jangkitan MERS-CoV, menunjukkan ubat ini menghalang penggandaan atau replikasi virus. Walaupun keputusan kajian adalah pelbagai.
Beliau berkata, laporan New England Medical Journal, pada November 2020, menunjukkan remdesivir mempercepatkan tempoh pemulihan pesakit di dalam hospital.
Favipiravir pula dilaporkan mampu memendekkan tempoh pemulihan, namun parameter ukuran lain seperti keperluan oksigen, pemindahan ke unit rawatan rapi dan kadar kematian tidak menunjukkan perbezaan.
Terdapat juga percubaan untuk menggunakan ubat HIV untuk merawat COVID-19 iaitu
Kaletra (gabungan lopinavir and ritonavir).
Keputusan kajian klinikal Kaletra ke atas COVID-19 adalah pelbagai, ada yang positif dan ada yang tiada manfaat.
Kemudiannya Kaletra ini digabungkan dengan ribavirin dan interferon beta-1b, kajian awal menggunakan gabungan ini menunjukkan ia mempercepatkan tempoh untuk virus keluar daripada tubuh.
Namun, kajian klinikal yang lebih terkini tidak menunjukkan sebarang manfaat gabungan ubat ini.
Baru-baru ini pengeluar produk semburan hidung nitrik oksida, melalui kajian klinikal rawak terkawal melaporkan keberkesanan nitrik oksida dalam menurunkan jumlah beban viral pada sekumpulan pesakit COVID-19.
Kesan positif pencegahan juga ditunjukkan dalam satu lagi kajian klinikal dalam kalangan kakitangan kesihatan dan mereka yang berisiko tinggi.
Nitrik oksida ini dikatakan boleh mengubah struktur protein permukaan virus yang menyebabkan virus tidak dapat bersatu dengan sel perumah untuk berkembang biak.
Kajian ini masih baharu dan perlukan lebih bukti.
Kajian kesan ivermectin
Ketika ini, ivermectin pula hangat dibincangkan di media sosial. Kajian makmal awal di Australia menunjukkan ivermectin boleh merencat pembiakan virus corona.
Namun, penggunaan klinikal Ivermectin dipersoalkan kerana keperluan dos yang sangat tinggi bagi mencapai kepekatan Ivermectin untuk merencat virus corona dalam manusia.
Terdapat beberapa kajian menunjukkan kesan positif Invermectin sama ada dalam rawatan mahupun pencegahan COVID-19.
Bagaimanapun, kajian klinikal ini bersifat kajian berskala kecil, kaedah pengendalian kajian yang lemah dan cara penggunaan ubatnya tidak jelas.
“Yang merisaukan adalah beberapa kajian yang diterbitkan ini kemudiannya ditarik semula kerana pengkaji tidak berjaya membuktikan kaedah dan sumber data kajian yang sahih.
“Oleh itu, keberkesanan Ivermectin ini masih menjadi tanda tanya. Kajian klinikal berskala besar dan bersifat kajian rawak terkawal masih diperlukan untuk mengumpul bukti kukuh.
“Di negara kita, kajian klinikal terhadap Ivermectin juga dimulakan. Dengan kekurangan bukti-bukti klinikal yang kukuh dan cabaran mencari rawatan antivirus berkesan, ramai yang risau dengan perkembangan semasa COVID-19 negara,” katanya.
Bagaimanapun, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat rawatan kendiri tanpa pemantauan profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi.
Elakkan membeli produk tidak terbukti keberkesanannya daripada sumber yang mencurigakan seperti peniaga dalam talian kerana sumber produk mungkin dicampur palsu, diragui dan melanggar keperluan undang-undang Malaysia.
-BH