Covid-19: AirAsia laksana dasar perjalanan baharu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: AirAsia Group melaksanakan dasar perjalanan baharu untuk penumpangnya berikutan pandemik Covid-19 termasuk memerlukan mereka untuk membawa dan memakai topeng muka mereka sendiri sebelum, semasa dan selepas penerbangan serta semasa mendaftar masuk dan mengambil bagasi.

Penumpang tanpa topeng muka tidak akan dibenarkan untuk menaiki pesawat, kata Ketua Pegawai Keselamatan Kapten Ling Liong Tien dalam kenyataan di laman web AirAsia hari ini.

AirAsia turut menyemak semula dasar bagasi kabin untuk memudahkan penjarakan sosial terutamanya semasa naik dan turun pesawat, membenarkan hanya satu bagasi kabin tidak melebihi 5kg bagi setiap penumpang.

Liong Tien berkata, langkah itu akan membantu mengurangkan kontak yang tidak diingini antara penumpang dan bagasi penumpang yang lain dan sebaliknya.

Terdapat juga pemeriksaan suhu di pusat pemeriksaan yang berbeza termasuk pintu masuk, katanya, sambil menambah semua kru akan dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan suhu selepas setiap syif.

“Sudah tentu, penjarakan sosial perlu dipantau, dan akan terdapat penanda di lantai di kawasan untuk beratur, termasuk kaunter daftar masuk dan kiosk.

“Langkah keselamatan lain ialah kaunter daftar masuk alternatif untuk memastikan jarak yang mencukupi dan kami juga sedang mengusahakan untuk mempunyai proses daftar masuk tanpa kontak,” katanya.

Liong Tien berkata, kru kabin akan dikehendaki untuk memakai peralatan perlindungan di dalam pesawat termasuk topeng muka dan sarung tangan.

Beliau berkata, kakitangan pengeluaran akan dipantau mengikut garis panduan Covid-19 dan kru kabin yang mengendalikan item menu akan dikehendaki untuk memakai sarung tangan pakai buang.

“Selain itu, kru kabin kami dilatih dengan prosedur untuk menguruskan pesakit atau penumpang yang disyaki tidak sihat di dalam pesawat.

“Keselamatan menjadi komponen paling penting dalam industri penerbangan dan sudah pasti kami akan terus berusaha untuk memastikan kesalinghubungan penting ini memenuhi semua standard kesihatan dan keselamatan yang diperlukan untuk pekerja dan penumpang kami,” katanya.

– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427