Coldplay taja Interceptor 005 bersihkan sungai Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Meskipun peminat Coldplay masih kempunan menonton persembahan mereka di Kuala Lumpur, projek terkini kumpulan muzik popular dari Britain ini bakal menjadikan Malaysia sebagai lokasi pertamanya.

Terkenal dengan lagu antaranya “Fix You” dan “Paradise”, Coldplay baru-baru ini mengumumkan kolaborasi mereka dengan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dari Belanda, The Ocean Cleanup, dalam usaha mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke laut.

Antara pendukung kuat inisiatif hijau dunia, Coldplay menaja mesin memerangkap sampah sungai “Interceptor 005” yang bakal digunakan di Malaysia, .

“Jika tiada tindakan, mungkin akan lebih banyak plastik daripada ikan di lautan pada tahun 2050. Maka sebab itulah kerja The Ocean Cleanup sangat penting.

“Kami bangga menaja Interceptor 005 yang akan memerangkap ribuan tan sampah sungai sebelum sampai ke lautan, “kata mereka dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ini adalah “Interceptor” kedua beroperasi di Malaysia selepas Interceptor 002 yang beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019 lalu.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat, Malaysia adalah negara pertama yang akan menerima Interceptor 005.

Ia sedang dibina di kemudahan MHE-Demag di Klang dengan kerjasama firma Finland, Konecranes.

Interceptor adalah sebuah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sehari sampah terapung yang dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.

Direka khas untuk membendung pencemaran di 1,000 sungai paling tercemar di dunia, Interceptor 005 adalah salah satu daripada dua unit yang dihasilkan dalam siri rekaan generasi ketiga teknologi ini.

Turut dikenali sebagai New Moon 1, Interceptor 005 akan terus beroperasi sejurus selepas ia siap dibina menjelang pertengahan tahun ini, jelas Slat dalam sebuah kenyataan.

Menurut Slat, sisa plastik dari sungai akan dibawa arus sehingga ke tempat pusaran sampah di tengah lautan, yang mana sampah sarap akan terkumpul di dalam arus berputar itu selama bertahun-tahun.

Kekurangan tindakan untuk mencegah pencemaran ini akan meningkatkan kesan buruk terhadap ekosistem, kesihatan dan ekonomi.

Sejak 2019, The Ocean Cleanup telah mengumumkan inisiatif Interceptor untuk saluran air tercemar di pelbagai negara seluruh dunia termasuk Indonesia, Republik Dominica, Vietnam, Amerika Syarikat, Jamaica dan Thailand.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427