CIMB tingkatkan akses produk perbankan dalam talian

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 10 Nov — CIMB Bank Bhd telah meningkatkan ketersediaan rangkaian produknya untuk pembelian menerusi saluran digital dalam usaha menyokong keperluan produk perbankan pelanggan, sejajar dengan peningkatan penggunaan perkhidmatan perbankan digital akibat pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Samir Gupta berkata ketersediaan produk-produk ini membantu mengurangkan kunjungan para pelanggan ke cawangan-cawangan bank, sekali gus mempercepatkan dan melancarkan proses pembelian produk perbankan oleh para pelanggan.

Beliau berkata CIMB menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan terhadap penggunaan digital oleh para pelanggan, apabila jualan e-Gold meningkat sehingga hampir 1,200 peratus, manakala jualan produk pelaburan dalam talian meningkat lebih 571 peratus tahun ke tahun sehingga September 2020.

“Dalam suasana sekarang ini, kami telah menyaksikan peningkatan trend para pelanggan yang mencari lebih banyak kaedah untuk menyimpan dan melabur secara dalam talian, dan untuk itu kami mahu menyokong keperluan mereka dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samir berkata para pelanggan kini boleh memohon pelbagai produk CIMB dalam talian, termasuk kiriman wang, pelaburan unit amanah, insurans motor, akaun bank, kad kredit, Pinjaman Peribadi Cash Plush, penempatan deposit semasa, mata wang perjalanan dan Akaun Pelaburan e-Gold (eGIA), dan lain-lain.

“Mengutamakan pelanggan adalah tumpuan strategik di bawah strategi Forward23+. Selaras dengan itu, CIMB menyasarkan untuk terus meningkatkan pengalaman perbankan digital kami, yang telah menjadi pengalaman perbankan utama oleh ramai orang.

“Kami berharap dapat memperkenalkan lebih banyak penyelesaian digital untuk menjadikan perbankan lebih lancar dan selamat, yang melengkapkan gaya hidup mudah alih para pelanggan kini,” katanya.

CIMB telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mempercepatkan perluasan penawaran digitalnya.

Pada Ogos, ia telah mengumumkan ketersediaan insurans Secure Home dan SOMPO Motor terpilih serta produk insurans am yang diedarkan oleh CIMB untuk pembelian secara digital.

Selain itu, para pelanggan yang mahu melabur dalam emas, boleh membuka e-GIA, yang membenarkan mereka membeli dan menjual emas pada bila-bila masa menerusi CIMB Clicks, manakala bagi produk kiriman wang CIMB, SpeedSend, memberikan kadar langsung pilihan dalam satu paparan di CIMB Clicks untuk kemudahan para pelanggan.

Pada Julai, CIMB mengumumkan pembukaan cawangan bank dalam taliannya untuk setiap pelanggan perbankan, yang membolehkan mereka membuka akaun semasa atau simpanan dengan menyerahkan permohonan dalam talian. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427